Thursday, June 11, 2015

Pemburuan emas hambar


WAJAH-wajah pemenang pingat boling acara beregu wanita, (dari kiri) Sin Li Jane, Esther Cheah yang meraih emas serta Syaidatul dan Shalin (gangsa).

MISI Malaysia memburu pingat emas pada hari kelima temasya Sukan SEA 2015 di Singapura semalam boleh dianggap kurang menyerlah.

Daripada 18 acara akhir yang mereka sertai, hanya enam pingat emas mampu dicapai iaitu menerusi boling, skuasy, snuker, gimnastik artistik dan ekuestrian.

Kejayaan paling mencuri tumpuan semalam ialah kecemerlangan yang dipamerkan oleh ekuin negara, R. Sharmini yang menggalas cabaran dalam acara show jumping individu yang menyaksikannya meraih emas, menewaskan peserta pilihan dari Singapura, Catherine Chew pada aksi penentuan.

Ia pencapaian cukup bermakna buat Sharmini kerana mengakhiri penantian selama sembilan tahun selepas kali terakhir Malaysia memenanginya menerusi Qabil Ambak pada temasya yang sama di Korat, Thailand pada 2007.

Kejayaan yang dilakar Sharmini itu dijejaki jaguh gimnastik artistik wanita negara, Farah Ann Abd. Hadi yang tampil dalam kelas tersendiri untuk menang emas disiplin senaman lantai individu.

Di gelanggang skuasy, skuad negara menepati ramalan apabila menguasai acara final perseorangan lelaki dan wanita yang menyaksikan Sanjay Singh Chal meraih emas kategori lelaki manakala Rachel Arnold melakukannya dalam kategori wanita.

Esther Cheah yang bergandingan dengan Sin Li Jane turut tidak mengecewakan apabila menyambar emas dalam acara boling berpasangan wanita, manakala emas keenam semalam diperoleh menerusi jaguh snuker, Thor Chuan Leong dan Moo Keen Hoo dalam acara beregu lelaki.

Menembak yang diramal mampu menghadirkan kilauan emas masih gagal merealisasikan impian tersebut apabila sekali lagi menyumbang pingat gangsa semalam menerusi Mohd. Hadafi Jaafar dalam acara 50 meter raifal prone lelaki.

Kem olahraga pula semakin suram apabila menghadirkan satu gangsa menerusi Adi Aliffudin dalam acara lontar peluru lelaki.

Dengan pencapaian enam emas itu, kontinjen negara masih kekal di kedudukan keempat keseluruhan dengan pungutan 27 emas, 31 perak dan 38 gangsa.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment