Monday, June 15, 2015

Skuad taekwondo terus kempunan emas

Atlet taekwondo negara, Khir Amir Mohd. Sulaiman terbaring akibat
ATLET taekwondo negara, Khir Amir Mohd. Sulaiman terbaring akibat cedera ketika menentang Sila-on Peerathep dalam pertandingan akhir bawah 74kg lelaki, Sukan SEA 2015 di Singapura semalam. UTUSAN

SINGAPURA – Kemarau pingat emas yang diharapkan mampu ditamatkan oleh kem taekwondo negara dalam acara kyorugi sejak 2001 tidak menjadi kenyataan apabila satu-satunya wakil Malaysia yang berjuang di pentas akhir Sukan SEA 2015, Khir Amir Mohd. Sulaiman mengalami kecederaan dalam pertandingan akhir 74 kilogram (kg) individu lelaki semalam.

Kecederaan kaki yang serius dialami Khir akibat disepak Sila-on Peerathep dari Thailand lima saat pertarungan bermula, memaksanya menarik diri walaupun dia tetap mahu meneruskan aksi sehingga ke akhirnya di Dewan Expo Singapura.

Setelah terbaring sebanyak dua kali, akhirnya Khir terpaksa diusung keluar dan Peerathep yang ketika itu mendahului 10-0 diumumkan mendapat kemenangan percuma.

Menurut ketua jurulatih taekwondo negara Moi Chee Keong, sepakan yang dilakukan oleh Peerathep diakui memberikan kecederaan yang cukup teruk dan mereka kini mahu menunggu laporan perubatan.

“Sepakan itu memang mengenai kaki Khir namun disebabkan pergerakan badan dia (Khir), dia mendapat kecederaan tersebut dan difahamkan memang terdengar bunyi semasa sepakan itu dilakukan.

“Ini bukan satu petanda yang baik dan buat masa ini tidak banyak yang boleh saya beritahu, sama-sama kita tunggu laporan doktor namun harap tiada sebarang perkara yang buruk.

“Rasa memang kecewa kerana dia berpeluang memenangi pingat emas, namun ini yang berlaku,” katanya kepada pemberita.

Seorang lagi wakil negara, P. Thinagaran hanya mampu meraih pingat gangsa kategori 68kg lelaki apabila kecundang di peringkat separuh akhir kepada atlet Vietnam, Phan Trung Duc 4-16. 

Sumber – UTUSAN

No comments:

Post a Comment