Monday, June 15, 2015

Jufferi ketuai pesilat raih 3 emas

Mohd. Faizul Nasir diusung oleh pasukan paramedik selepas cedera
MOHD. FAIZUL NASIR diusung oleh pasukan paramedik selepas cedera di bahagian mata ketika Vo Duy Phuoug dalam kategori lelaki 45-50kg, Sukan SEA 2015 di Singapura semalam. Penyertaan Duy Phuong kemudian dibatalkan. BERNAMA

SINGAPURA – Mohd. Al Jufferi Jumari mengetuai rakan-rakannya untuk meraih tiga pingat emas daripada acara silat Sukan SEA 2015 semalam dan kemudiannya memberi bayangan mahu bersara selepas Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia dan beralih karier kepada melatih.

Kemenangan Jufferi semalam melengkapkan pencapaian peribadi terbaiknya apabila menang tiga emas Sukan SEA berturut-turut sejak 2011.

Semalam, pesilat berusia 23 tahun itu tidak menghadapi masalah untuk menang kategori putra D bawah 70 kilogram (kg) apabila menewaskan pesilat Vietnam, Vu Van Hoang 5-0 dalam perlawanan akhir.

Sebaik sahaja meraih pingat emas ketiganya, dia memberitahu mahu bersara tiga tahun lagi.

Walaupun tidak memberi alasan mengapa dia mengambil keputusan itu, namun Jufferi kelihatan seperti sudah puas dengan pelbagai pengiktirafan dan kejayaan yang diraihnya hingga hari ini.

“Mungkin saya akan terus menyertai pertandingan hingga Sukan Asia 2018 dan selepas itu saya mahu berhenti. Walaupun umur saya masih muda namun sudah tidak larat,” katanya sambil ketawa.

“Selepas saya bersara, besar kemungkinan saya akan menjadi seorang jurulatih namun ini semua hanya kemungkinan, apa-apa tunggulah nanti namun untuk kali ini saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan. Saya rasa gembira kerana dapat emas hatrik Sukan SEA,” katanya kepada media selepas perlawanan akhir semalam.

Jufferi memenangi pingat emas pertamanya dalam Sukan SEA 2011 di Palembang dan mengulanginya di Nay Pyi Taw, Myanmar dua tahun lalu untuk menjadikan dia antara salah seorang pesilat negara yang cemerlang dari segi pencapaian.

Malaysia turut meraih dua lagi emas dalam acara silat semalam menerusi Muhammad Faizul M. Nasir (putra kelas B bawah 55kg) dan Siti Rahmah Mohamed Nasir (putri kelas D bawah 65kg) manakala dua lagi wakil negara, Muhammad Rabial Sobri (putra kelas H bawah 85kg) serta Muhammad Fahmi Romli (putra kelas D bawah 65kg) tewas dalam perlawanan akhir.

Sumber – UTUSAN

No comments:

Post a Comment