Monday, June 15, 2015

Pastikan kita juara 2017 - TPM

Muhyiddin Yassin bersama Noorainee Abdul Rahman bergambar bersama
MUHYIDDIN YASSIN bersama Noorainee Abdul Rahman bergambar bersama Koi Sie Yan (belakang kiri) dan N. Shasangari Sivaneswary (belakang tengah) yang berkongsi pingat emas setelah kedua-duanya mengutip jumlah mata yang sama untuk memenangi acara gimnastik berirama individu keseluruhan dalam Sukan SEA 2015 di Singapura semalam. UTUSAN

SINGAPURA - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa agar program pembangunan sukan untuk atlet negara dipertingkatkan segera supaya Malaysia mampu menjuarai Sukan SEA 2017 selaku tuan rumah.

Beliau yang berada di sini untuk memberikan sokongan kepada atlet-atlet negara yang bersaing dalam Sukan SEA berkata, selaku tuan rumah temasya itu dua tahun lagi, Malaysia perlu meletakkan sasaran pingat berdasarkan kepada situasi semasa acara sukan dan pencapaian atlet negara.

“Kita (Malaysia) kena meningkatkan lagi program pembangunan atlet kita dari sekarang dengan memberi tambahan latihan prestasi tinggi.

“Program latihan ini bukan sahaja di dalam negara malahan juga di luar negara, apa yang penting ialah menambah pendedahan atlet untuk bertanding di peringkat antarabangsa seperti yang telah dilakukan sebelum ini.

“Tidak mustahil jika diletakkan sasaran seperti ini (untuk muncul juara keseluruhan) dapat dicapai,” katanya, yang pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan pada Mei 1995 hingga November 1999.

Beliau berkata demikian sewaktu ditemui pemberita Malaysia selepas menyaksikan acara boling Masters Wanita semalam.

Muhyiddin, yang ditemani isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman meluangkan masa hampir setengah jam di pusat boling Orchid Bowl, Orchid Country Club, Yishun.

Selain acara boling, Muhyiddin turut menyaksikan beberapa acara lain yang melibatkan atlet Malaysia seperti gimnastik berirama, badminton, memanah dan pencak silat.

Sementara itu, Muhyiddin turut memuji kejayaan dua atlet gimnastik berirama negara N. Shasangari Sivaneswary dan Koi Sie Yan yang berkongsi pingat emas acara individu keseluruhan semalam.

“Kejayaan mereka ini amat luar biasa kerana meraih dua emas de­ngan jumlah mata yang sama dan diharap ini akan menjadi pembakar semangat gimnas kita yang lain.

“Prestasi atlet kita yang lain pada Sukan SEA ini juga nampak membanggakan dan diharap sewaktu kita menjadi tuan rumah nanti kita berupaya mencipta kejayaan yang lebih besar,” katanya.

Dua emas tersebut diraih selepas Shasangari dan Sie Yan berkongsi jumlah mata tertinggi, 60.250. Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia meraih dua emas dalam satu acara yang sama dalam Sukan SEA. 

Sumber – UTUSAN

No comments:

Post a Comment