Monday, June 15, 2015

Muhyiddin sifatkan kejayaan gimnas negara pencapaian luar biasa

muhyiddin
SINGAPURA 14 Jun - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kejayaan dua gimnas negara, N. Shasangari dan Koi Sie Yan menyumbang dua pingat emas dalam acara gimnastik berirama individu keseluruhan adalah pencapaian luar biasa.

"Syukur, saya ucap tahniah kepada kedua-dua gimnas negara yang sangat luar biasa (pencapaian), markah sama dan mendapat dua emas...bonus bagi kita.

"Kejayaan ini memberi semangat baru kepada gimnas muda yang lain. Mudah-mudahan mereka mendapat kejayaan cemerlang seperti ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pingat kepada pemenang di Dewan Sukan Bishan di sini hari ini.

Buat pertama kali dalam sejarah Sukan SEA, Shasangari dan Sie Yan, yang masing-masing mengutip jumlah mata yang sama iaitu 60.250, meraih pingat emas.

Pingat perak diraih Panjarat Prawatyotin dari Thailand dengan jumlah 57.350 mata. Tiada pingat gangsa ditawarkan berikutan dua gimnas Malaysia meraih dua pingat emas dalam acara tersebut.

Muhyiddin berkata, beliau tetap berbangga dengan pencapaian atlet Malaysia yang lain di Sukan SEA kali ini, dan berharap kejayaan itu akan membakar semangat mereka untuk muncul juara keseluruhan ketika Malaysia menjadi tuan rumah temasya sukan dwitahunan itu pada 2017. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment