Monday, June 15, 2015

Hujan emas landa kontinjen negara

Atlet memanah negara meraikan kejayaan meraih lima pingat emas,
ATLET memanah negara meraikan kejayaan meraih lima pingat emas, tiga perak dan gangsa, termasuk empat emas semalam dalam Sukan SEA 2015 di Padang Kriket Kallang, Singapura. utusan

SINGAPURA - Kontinjen negara dilanda demam pingat emas apabila menang dalam 13 acara akhir pada hari kesembilan Sukan SEA 2015 semalam untuk menang 14 pingat utama itu, termasuk dua yang dikongsi bersama oleh dua gimnas negara.

Pencapaian itu, selain paling banyak dirakam oleh kontinjen negara di sini setakat ini, menjadikan Malaysia sebagai ‘juara’ semalam apabila pendahulu semasa Thailand sekadar menambah sembilan emas, diikuti Singapura (tujuh) dan Vietnam (lapan). Bagaimanapun, secara keseluruhan Malaysia masih kekal di anak tangga keempat kedudukan pingat.

Kesemua 14 butir emas itu disumbangkan menerusi skuad memanah dengan empat emas, pencak silat (tiga), pelayaran (tiga), gimnastik (dua), ski air (satu) dan basikal (satu).

Skuad gimnastik turut mencipta sejarah baharu apabila buat julung kalinya Malaysia merangkul dua emas menerusi satu acara apabila N. Shasangari Sivaneswary dan Koi Sie Yan berkongsi jumlah mata tertinggi iaitu 60.250 dalam gimrama individu wanita.

Bagaimanapun, Fatin Nurfatehah Mat Salleh paling menyerlah semalam apabila memenangi tiga acara untuk membantu skuad memanah compound merangkul empat pingat emas semalam.

Fatin Nurfatehah meraih emasnya menerusi acara berpasukan wanita bersama Saritha Cham Nong dan Nor Rizah Ishak sekali gus mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi emas pertama compound berpasukan dalam tempoh 10 tahun setelah menewaskan Thailand 223-210.

Dia turut membidik dua lagi emas menerusi acara individu dan berpasukan campuran compound.

Pencapaian skuad compound wanita diimbangi oleh kombinasi tiga pemanah lelaki Zulfadli Ruslan, Lee Kin Lip dan Mohd. Juwaidi Mazuki apabila mereka turut memenangi acara berpasukan untuk memenuhi ramalan Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Mohamad Yazid Yahya yang yakin anak-anak buahnya mampu membidik lebih daripada tiga emas.

Kejayaan atlet berbasikal negara, Mohd. Harrif Salleh diteruskan apabila dia merangkul emas kedua peribadinya dalam temasya kali ini menerusi acara lebuh raya setelah menamatkan perlumbaan dengan masa tiga jam, 19 minit dan 33 saat. Seorang lagi pelumba negara Anuar Manan di tempat ke­tiga.

Sukan pe­layaran meneruskan kecemerlangan kontinjen negara apabila menghadiahkan tiga pingat emas menerusi acara Lelaki 420 (Bawah 19 tahun), berpasukan lelaki laser standard dan berpasukan wanita laser radial selain tiga pingat perak.

Mereka turut melayari sejarah baharu apabila meraih tujuh emas, mengatasi rekod sebelum ini iaitu lima emas semasa Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur.

Di gelanggang silat pula, tiga emas berjaya dihasilkan oleh pesilat negara, Mohd. Al Jufferi Jumari menerusi acara putra kelas D bawah 70 kilogram (kg), Muhammad Faizul M. Nasir (putra kelas B bawah 55kg) dan Siti Rahmah Mohamed Nasir (putri kelas D bawah 65kg).

Dua lagi wakil negara, Muhammad Rabial Sobri (putra kelas H bawah 85kg) serta Muhammad Fahmi Romli (putra kelas D bawah 65kg) meraih perak.

Sementara itu, Aaliyah Yoong Hanifah menepati ralaman apabila memenangi pingat emas dalam kategori keseluruhan ski air wanita selepas memungut 2,155.6 mata, jauh meninggalkan Nur Ali Prambodo dari Indonesia (1,553.68 mata) dan Marissa Kee (1,408.38 mata). 

Sumber – UTUSAN

No comments:

Post a Comment