Sunday, June 14, 2015

Skuad sepak takraw rampas emas acara regu


REGU emas negara menunjukkan pingat emas acara sepak takraw yang mereka menangi pada Sukan SEA 2015 semalam selepas menewaskan Laos pada aksi terakhir saingan liga satu pusingan.

SINGAPURA – “Emas tetap pingat emas.”

Demikian tegas Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail terhadap kritikan segelintir pihak yang memandang rendah kemenangan regu lelaki negara pada temasya Sukan SEA 2015.

Ini kerana pada edisi ke-28 kali ini, setiap negara dibenarkan mengambil bahagian dalam dua acara sahaja, namun kejutan berlaku apabila Thailand memilih untuk tidak bertanding dalam kategori regu lelaki.

Sebaliknya, kuasa besar sepak takraw Asia itu dilihat berminat dalam acara berpasukan dan double lelaki manakala Malaysia tetap dengan pendirian untuk mengambil bahagian.

Kejayaan regu negara yang dibarisi Mohammad Syahir Mohd. Rosdi (tekong), Mohd. Hanafiah Dollah (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri) meraih pingat emas pertama acara itu selepas kali terakhir pada 2005 yang dikatakan tidak begitu mencabar.

“Bagi saya, (pingat emas) ini bukan hadiah kerana Thailand akan sentiasa mengikut setiap acara yang Malaysia tandingi tetapi mereka tidak memilih acara regu lelaki kali ini yang mana ia adalah kali pertama.

“Kami pernah kalahkan regu utama mereka pada Kejohanan Sepak Takraw Siri Super Istaf di Melaka baru-baru ini dan kami sememangnya bersedia. Mungkin mereka merasakan peluang mereka ialah 50-50.

“Saya bangga dengan pencapaian anak-anak buah saya. Mereka adalah daripada program Sukan SEA 2017 tetapi sudah dapat pingat emas sekarang,” katanya ketika ditemui di Dewan ExPO Singapura di sini semalam.

Pingat emas menjadi milik Malaysia apabila regu negara itu muncul juara liga sepusingan selepas meraih kemenangan 2-0 (21-10, 21-16) ke atas Laos pada aksi terakhir semalam.

Terdahulu, regu Malaysia yang turut dibarisi Ahmad Aizat Mohd. Nor Azmi dan Mohd. Khairol Zaman Hamir Akbar menewaskan Singapura serta Filipina sebelum ini.

Sebagai rekod, pingat perak acara regu lelaki dimenangi Singapura dan Laos pula berpuas hati dengan pingat gangsa.

Dalam acara regu wanita, Malaysia sekadar meraih pingat gangsa apabila tewas 0-2 kepada Myanmar pada saingan separuh akhir, semalam.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment