Sunday, June 14, 2015

Hoki cemas


PARA pemain skuad hoki negara bersorak kegembiraan ketika meraikan kejayaan mempertahankan pingat emas hoki lelaki pada Sukan SEA 2015 di SIngapura semalam.

SINGAPURA – Biarpun membariskan skuad remaja pada temasya Sukan SEA 2015, Malaysia masih mampu mempertahankan pingat emas dalam acara hoki sejak tahun 1975.

Sepanjang sejarah Sukan SEA, Malaysia hanya sekali terlepas emas yang menyaksikan mereka tewas kepada Singapura pada edisi 1973.

Pada aksi final semalam, kejayaan yang dilakar oleh skuad negara tidak semudah yang dijangkakan kerana mereka dipaksa bekerja keras oleh Singapura yang berjaya mengikat kedudukan 2-2 sebelum tamat perlawanan.

Namun, kecemerlangan barisan muda negara itu ketika penentuan penalti membolehkan mereka bergelar juara sekali gus mempertahankan pingat emas.

Pada penentuan pukulan penalti, Malaysia menang 4-3 pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Sengkang itu.

Skuad negara yang dibimbing Arul Selvaraj memperoleh dua gol awal melalui Mohd. Aminuddin Mohd. Zain pada minit ke-14 dan Azwar Abdul Rahman (45) sebelum Singapura merapatkan defisit gol menerusi jaringan Hafiz Abdul (51).

Gol penyamaan Singapura akhirnya tiba apabila Enrico Marican memanfaatkan jaringan padang untuk menjadikan kedudukan 2-2 seminit sebelum tamat bagi mengheret perlawanan ke penentuan pukulan penalti.

Kegagalan dua pemain Singapura, Nur Ashriq Zulkepli dan Marican menyaksikan pingat emas menjadi milik Malaysia yang berjaya menyumbat masuk empat penalti meskipun percubaan Rafizul Ezry Mustafa tidak berjaya.

Empat penalti Malaysia dimanfaatkan oleh Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Ashran Hamsani, Najmi Farizal Jazlan dan Nor Azrul Abdul Rahman.

“Aksi final yang cukup mencabar kerana Singapura banyak mempamerkan peningkatan. Kami boleh menang mudah tetapi gagal menggunakan setiap peluang yang ada,” kata Arul.

Lebih manis, kejayaan skuad hoki lelaki itu merupakan pingat emas ke-45 berjaya diraih kontinjen negara selepas lapan hari bersaing pada temasya sukan dwitahunan itu.

Selepas selesai acara yang berlangsung semalam, Malaysia berada di kedudukan keempat keseluruhan dengan 45 emas, 43 perak dan 59 gangsa.

Thailand berada di kedudukan teratas dengan 78 emas diikuti Singapura (74) dan Vietnam di tempat ketiga dengan 65 emas.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment