Sunday, June 14, 2015

‘Menang tak bermaruah!’

“Kalau nak menang, buatlah macam jantan.... secara bermaruah. Kita memang sedar perkara sebegini (pengadilan berat sebelah) pasti berlaku apatah lagi ketika menentang pesilat tuan rumah.

“Bagaimanapun, kita tetap menghantar bantahan rasmi kerana kita perlu mempertahankan kewibawaan pesilat kita,” kata Setiausaha Agung PESAKA Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Skuad silat negara tidak berpuas hati selepas bekas juara dunia, Mohd Fauzi Khalid tewas 3-2 di tangan pesilat tuan rumah Muhammad Nur Alfian Juma’en dalam acara tanding kelas F putra bawah 75 kilogram.

Megat Zulkarnain berkata, pengadilan berat sebelah jelas kelihatan ketika masa pertandingan hanya tinggal beberapa saat untuk ditamatkan dengan Mohd Fauzi mendahului 2-1.

“Pesilat tuan rumah menarik baju pesilat kita dan ia sepatutnya menjadi satu kesalahan tapi malangnya wasit tetap memberikan mata hingga membolehkan Singapura menang 3-2,” katanya.

Pada separuh akhir semalam, empat pesilat negara layak ke final iaitu Mohd Al Jufri Jamari (E putra bawah 70kg); Siti Rahmah Mohamed Nasir (D putri bawah 65kg); Muhammad Fahmi Romli (D putra bawah 65kg) dan Muhammad Faizul M Nasir (B putra bawah 55kg).

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment