Sunday, June 14, 2015

Skuad negara sapu bersih emas skuasy


SKUAD skuasy lelaki dan wanita negara meraikan kejayaan mereka apabia menyapu bersih acara berpasukan pada Sukan SEA 2015 di Singapura, semalam.


SINGAPURA – Skuad skuasy negara menepati ramalan apabila menyumbang dua lagi pingat emas pada Sukan SEA 2015 menerusi acara berpasukan lelaki dan wanita yang berlangsung di Pusat Skuasy Kallang, semalam.

Pasukan skuasy lelaki tidak berdepan masalah menumbangkan Singapura 2-0 selepas Muhd. Addeen Idrakie Bahtiar meraih kemenangan 10-12, 11-8, 11-6, 11-9 ke atas Samuel King manakala Sanjay Singh Chal mengesahkan pingat emas selepas menewaskan Vivian Rhamanan, 11-4, 11-2, 11-2.

Seorang lagi pemain negara adalah Mohammad Syafiq Mohd. Kamal.

Menurut Sanjay, kejayaan tersebut cukup manis dan ia hadir hasil kerjasama dan semangat berpasukan yang tinggi pada temasya kali ini.

“Saya amat gembira dengan kemenangan ini kerana ia merupakan pingat emas kedua selepas memenangi acara individu, Rabu lepas.

“Pada perlawanan tadi (semalam), saya agak tertekan kerana beraksi di hadapan penyokong lawan, namun saya dapat mengawal situasi tersebut dengan baik.

“Perlawanan tersebut memang nampak mudah tetapi terlalu memenatkan kerana perlu banyak bergerak,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan tersebut.

Sementara itu, dalam acara berpasukan wanita, skuad negara membariskan Vanessa Raj Gnanasigamani, Rachel Arnold dan Teh Min Jie untuk turun menentang Indonesia.

Seperti diduga, Vanessa mudah mengatasi Rohmah Yeni 11-7, 11-8, 11-3 manakala Rachel Arnold melengkapkan kemenangan selepas menewaskan Yuliana Catur 11-8, 11-8, 11-4.

Vanessa nyata gembira dengan kejayaan tersebut dan ia cukup bermakna buatnya kerana ini merupakan penampilan pertamanya di Sukan SEA.

“Kejayaan ini juga adalah pengubat kekecewaan selepas gagal meraih emas dalam aksi individu.

“Kemenangan kami pada hari ini (semalam) adalah hasil keserasian dalam kalangan semua pemain wanita kerana kami umpama adik-beradik,” kata Venessa.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment