Sunday, June 14, 2015

Aaliyah terkejut dapat perak


AALIAH tidak percaya untuk berada dalam tiga kelompok teratas acara jump pada Sukan SEA 2015 semalam yang menyaksikannya menang pingat perak.

SINGAPURA – “Saya tidak sangka dapat tempat kedua.”

Itu respons Aaliyah Yoong Hanifah ekoran kejayaannya memenangi pingat perak dalam acara ski air kategori jump wanita pada Sukan SEA 2015 yang berlangsung di Bedok Reservoir, semalam.

Peluncur air negara berusia 11 tahun itu berjaya mengumpul jumlah keseluruhan 20.2 meter (m) yang mana ia juga merupakan rekod baharu peribadi terbaik mengatasi catatan lama, 11.2m.

Aaliyah mengakui dia menjangkakan sekadar menghuni kedudukan tercorot atau tempat ketiga sahaja jika semuanya berjalan lancar sewaktu pertandingan tersebut berlangsung.

“Saya sangat terkejut kerana tidak menjangka untuk meraih pingat perak. Awal-awal lagi saya ingat dapat tempat terakhir atau mungkin hanya gangsa.

“Lagipun tidak banyak kesukaran yang saya lakukan pada aksi tadi (semalam), saya lebih banyak mengambil langkah selamat kerana belakang badan saya terasa sakit.

“Namun, saya berjaya melakukan catatan peribadi terbaik dan memenangi pingat perak. Kejayaan ini sangat membanggakan saya,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Pingat emas acara jump wanita dimenangi atlet Indonesia, Rossi Amir dengan 29.0m sementara Nur Alimah Prambodo, juga dari Indonesia membawa pulang gangsa (18.1m).

Sebagai rekod, Aaliyah yang merupakan adik kepada bekas pelumba Formula Satu negara, Alex Yoong, pernah menjadi atlet termuda memenangi emas Sukan SEA ketika edisi 2011 di Palembang, Indonesia dalam acara tricks ketika berusia lapan tahun.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment