Sunday, June 14, 2015

Mampukah sasaran dicapai?

Skuasy berpasukan wanita

SINGAPURA - Malaysia menampilkan aksi cemerlang apabila berjaya menambah tujuh lagi emas pada hari kesembilan Sukan SEA 2015 dan kesemua pingat itu diraih menerusi acara yang sudah dijangka.

Meskipun berjaya menampilkan aksi cemerlang, namun kebimba­ngan tetap menyelubungi kontinjen negara, apakah sasaran 188 pingat keseluruhan (56 peratus) yang ditetapkan sebelum ini mampu dicapai sedangkan temasya dwitahunan itu kini hanya berbaki tiga hari.

Bagaimanapun, pencapaian 45 emas yang dicapai semalam menyaksikan kontinjen negara berjaya melepasi pencapaian di Myanmar, dua tahun lalu dengan 43 emas

Setakat ini, kontinjen negara berjaya mengumpul 45 emas, 43 perak dan 59 gangsa menjadikan jumlah keseluruhan 147 pingat, namun masih memerlukan 41 pingat bagi memenuhi sasaran ditetapkan.

Mungkin agak sukar tetapi boleh dicapai sekiranya kontinjen negara berjaya menjelmakan lebih satu pingat dalam acara yang disertai seperti badminton, ski air, memanah, mendayung dan pelayaran.

“Berpandukan kepada pencapaian semasa, saya berpuas hati kerana banyak lagi acara yang belum ber­akhir seperti pelayaran, mema­nah dan badminton,” kata Ketua Kontinjen Negara, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Kecemerlangan negara dimulakan skuad memanah apabila trio Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Mohd. Ikram Joni mempertahankan emas recurve berpasukan lelaki buat kali ketiga berturut-turut selepas menundukkan Indonesia 5-4.

Skuasy meneruskan kecemerlangan dengan merangkul gelaran berganda dalam berpasukan lelaki dan wanita, sekali menyapu empat emas di Singapura.

Skuad wanita mencatat kemenangan selesa 2-0 ke atas Indonesia, manakala pasukan lelaki menum­paskan Singapura, juga 2-0.

Agak mengejutkan apabila sepak takraw negara turut menghadiahkan emas menerusi antara regu lelaki selepas menewaskan Laos 2-0 dalam perlawanan terakhir.

Bagaimanapun, Malaysia sudah mengesahkan kejuaraan lebih awal dalam acara yang tidak disertai gergasi sepak takraw, Thailand itu selepas menang semua tiga perlawanan yang berlangsung mengikut format liga.

Seperti dijangka, pelayaran terus konsisten apabila menghadiahkan dua lagi emas menerusi acara 470 wanita dan pptimis individu lelaki (bawah 16 tahun), sekali gus me­nyaksikan mereka berjaya me­nyumbangkan empat emas setakat ini.

Emas ketujuh negara dijelmakan skuad hoki lelaki selepas me­nundukan tuan rumah menerusi penentuan penalti shoot out yang menyaksikan Malaysia menang 4-3.

Pemburuan emas Malaysia dite­ruskan hari ini dengan acara memanah menjadi tumpuan utama selepas wakil negara berjaya me­nempatkan diri dalam lima final acara compound.

Boling juga berpeluang menggondol dua emas dalam saingan Masters lelaki dan wanita selepas cemerlang sejak hari pertama.

Pelayaran turut menjadi harapan untuk menambah pungutan emas.

Selain itu Malaysia mungkin mampu menjelmakan beberapa lagi pingat menerusi acara lain seperti berbasikal, floorball, gimrama, pencak silat, mendayung, taekwondo dan ski air.

Malaysia kini terus berada di kedudukan keempat selepas mengumpul 45 emas, 43 perak dan 59 gangsa manakala Thailand (78-73-59) berjaya memintas Singapura (74-65-94) di tangga teratas dan Vietnam (65-42-55) di kedudukan ketiga.

Sumber: UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment