PEMAIN negara meraikan kejayaan merangkul emas selepas menundukkan Singapura dalam perlawanan akhir di Stadium Hoki Sengkang, semalam.
SINGAPURA - Skuad hoki lelaki negara memilih laluan sukar untuk mempertahankan pingat emas yang tidak pernah gagal dimenangi sejak Sukan SEA 1975 apabila memerlukan pukulan penalti shoot out untuk menumpaskan Singapura, semalam.
Selepas terikat 2-2 dalam 70 minit permainan, saingan diheret ke penentuan penalti, di mana Malaysia akhirnya menang 4-3.
Ini adalah gelaran ke-15 buat Malaysia sejak hoki mula dipertandingkan dalam Sukan SEA pada 1971. Satu-satunya kekalahan skuad negara adalah kepada Singapura ketika negara itu menjadi tuan rumah temasya 1973.
Pingat gangsa menjadi milik Myanmar yang menang dalam perebutan tempat ketiga menewaskan Thailand 5-1.
Jurulatih Malaysia, Arul Selvaraj berkata, pemain telah melaksanakan tugas dengan baik sepanjang kempen Sukan SEA 2015 biarpun bergelut sebelum memenangi saingan akhir.
“Bagi saya perlawanan akhir memang amat mencabar kerana Singapura telah meningkat dan jika kita berjaya memanfaatkan semua pukulan sudut penalti sudah tentu kita dapat menang dengan selesa.
“Saya juga akui kita sepatutnya menang mudah dalam perlawanan ini tetapi kerana gagal memanfaatkan peluang pukulan penalti, selain keputusan pengadil yang berat sebelah menyebabkan kita terpaksa menang dalam aksi penentuan penalti shoot out,” kata Arul.
Dalam perlawanan yang turut disaksikan Presiden Persekutuan Hoki Asia, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal, Malaysia mendahului pada minit ke-14 menerusi Aminudin Mohd. Zain, sebelum Azwar Abdul Rahman menjadikan kedudukan 2-0 di minit ke-45.
Singapura bangkit merapatkan kedudukan menerusi Hafiz Abdul pada minit ke-51 dan ketika saingan berbaki seminit untuk ditamatkan, Enrico Marican berjaya meledak gol penyamaan.
Keputusan 2-2 kekal hingga wisel penamat memaksa saingan diheret ke penentuan penalti shoot out.
Sumber: UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment