Sunday, June 14, 2015

Bukan emas ‘kasihan'

Mohd. HANAFIAH DOLAH (kanan) melakukan rejaman yang cuba dihadang
MOHD. HANAFIAH DOLAH (kanan) melakukan rejaman yang cuba dihadang pemain Laos, Kantana Nanthisen dalam perlawanan antara regu Sukan SEA 2015 , semalam.

SINGAPURA – Pedulikan apa yang mahu diperkatakan oleh pengkritik, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail enggan ambil pusing dan tetap berbangga dengan kejayaan regu lelaki negara meraih emas pada Sukan SEA 2015, semalam.

Dengan ketiadaan Thailand yang tidak mengambil bahagian dalam acara regu kali ini, Malaysia berjaya merampas semula kejuaraan selepas kali terakhir melakukannya di Manila, 10 tahun lalu.

Bagi Ahmad, ini bukannya 'emas kasihan’ kerana Thailand telah mengambil keputusan mahu bertanding dalam kategori beregu lelaki, selain berpasukan.

Tambahnya, semuanya berdasarkan syarat pada edisi ke-28 temasya yang menetapkan setiap negara hanya boleh mengambil bahagian dalam dua acara dan itu menyebabkan mereka sanggup mengorbankan acara regu yang membuka ruang seluas-luasnya kepada Malaysia.

"Ini (pingat emas) bukan hadiah kemenangan dari Thailand walaupun mereka akan sentiasa mengambil bahagian dalam acara yang disertai Malaysia, namun kali ini, mereka tiba-tiba tidak mahu memilih acara regu lelaki. Ini kali pertama Thailand buat sedemikian.

"Mungkin orang sudah lupa yang baru-baru ini kami pernah kalahkan regu utama Thailand pada Kejohanan Sepak Takraw Series Istaf di Melaka dan andai kata kami bertemu sekali lagi di sini, kami sentiasa bersedia dan peluang 50-50.

"Apa-apa pun, saya tetap berbangga dengan pencapaian anak-anak buah saya dan mereka sebenarnya masih dalam program Sukan SEA 2017, namun mereka berjaya mendapatkan pingat emas di sini," katanya yang ditemui di Dewan EXPO Singapura, semalam.

Skuad regu negara yang terdiri daripada Mohammad Syahir Mohd. Rosdi (tekong), Mohd. Hanafiah Dollah (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri) mengesahkan pi­ngat emas apabila muncul juara liga sepusingan dengan mengalahkan Laos, 2-0 (21-10, 21-16) pada aksi terakhir.

Sebelum itu, regu negara yang dibarisi Ahmad Aizat Mohd. Nor Azmi dan Mohd. Khairol Zaman Hamir Akhbar menumpaskan Singapura dan Filipina pada dua lagi aksi kumpulan sebelum ini.

Pingat perak berjaya dimenangi oleh Singapura sementara Laos berjaya menyingkirkan Filipina untuk memastikan pingat gangsa.

Emas dalam acara regu itu menamatkan kemarau selama 10 tahun sejak kali terakhir menang di Sukan SEA 2005 Manila, Filipina tetapi banyak peminat seperti berasakan seperti tidak berikan sebarang makna kerana bukannya dicapai dengan menewaskan kuasa besar sepak takraw dunia, Thailand.

Pada acara berpasukan, Malaysia terpaksa akur dengan pingat perak apabila tidak mampu kehebatan Thailand selepas kalah 0-3 dan sekadar mengatasi Indonesia serta Singapura.

Sumber: UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment