Monday, June 15, 2015

Silat sumbang tiga emas


SITI RAHMAN turut tidak mengecewakan apabila menyumbang emas dalam kategori wanita.

SINGAPURA – Pesilat negara, Mohd. Al Jufferi Jamari mendedahkan temasya Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia akan menjadi pentas antarabangsa terakhir dalam karier silatnya selepas ini.

Pendedahan itu dibuat sejurus memenangi pingat emas kelas D putra bawah 70 kilogram (kg) pada Sukan SEA 2015 dengan menewaskan pesilat Vietnam, Vu Van Hoang 5-0 di Dewan Expo Singapura, semalam.

“Saya akan teruskan sehingga Sukan Asia 2018, selepas itu saya mungkin akan bersara. Usia saya masih muda tetapi sudah macam tak larat nak beraksi.

“Mungkin saya bersara dan kemungkinan besar juga saya akan menjadi jurulatih,” katanya.

Kejayaan memenangi pingat emas itu merupakan hatrik buat Al Jufferi selepas memenanginya pada dua temasya terdahulu, Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia dan Sukan SEA 2013 di Nay Pyi Taw, Myanmar.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya. Pada mulanya agak mendebarkan tetapi akhirnya saya berjaya juga melengkapkan hatrik Sukan SEA,” jelasnya.

Selain Al Jufferi, dua pesilat negara turut berjaya menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen negara menerusi Muhammad Faizul M. Nasir (kelas B putra bawah 55kg) dan Siti Rahmah Mohamed Nasir (kelas D putri bawah 65kg).

Dua lagi pesilat negara yang mara ke final semalam kecundang di tangan lawan masing-masing dan sekadar meraih pingat perak iaitu Muhammad Rabial Sobri dan Muhammad Fahmi Romli.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment