Monday, June 15, 2015

Pelayaran tambah tiga emas pada hari terakhir


MUHAMAD Uzair (kanan) dan Naquib Eiman menyumbang pingat emas ke-50 buat kontinjen negara semalam menerusi acara pelayaran kategori 420 lelaki B-19.

SINGAPURA – Skuad pelayaran menutup tirai Sukan SEA 2015 dengan penuh gemilang apabila menambah tiga lagi pingat emas di Pusat Pelayaran Singapura semalam.

Tiga emas tersebut berjaya diperoleh menerusi acara 420 bawah 19 tahun (B-19) lelaki, berpasukan lelaki laser standard dan berpasukan wanita laser radial.

Lebih manis, kejayaan duo lelaki 420 yang dibarisi Muhamad Uzair Amin Mohd. Yusof dan Naquib Eiman Shahrin itu merupakan pingat emas ke-50 kontinjen negara pada temasya sukan dwitahunan edisi ke-28 ini.

“Kami memang nak menang hari ini (semalam) walaupun pingat emas sebenarnya sudah berada dalam genggaman. Kami tidak ambil mudah cabaran tersebut kerana Singapura memang hebat.

“Malah, kami sebenarnya tak menjangkakan yang pingat emas ini adalah yang ke-50 buat Malaysia. Kami harap ia akan mendorong kami melakar kejayaan lebih besar lagi selepas ini,” kata Naquib Eiman semalam.

Pingat perak acara tersebut dimenangi Thailand dan gangsa pula menjadi milik Singapura.

Pingat emas kedua kem pelayaran negara hadir menerusi gandingan Khairulnizam Mohd. Afendy, Muhammad Farhan Hamid dan Ahmad Latif Khan Ali Sabri Khan dalam acara berpasukan lelaki laser standard.

Satu lagi emas semalam disumbangkan trio pelayar negara, Nur Shazrin Mohamad Latif, Nurliyana Mohd. Latif dan Khairunneeta Mohd. Afendy dalam acara berpasukan wanita laser radial.

Selepas berakhirnya acara tersebut semalam, Singapura menunjukkan penguasaan dengan meraih 10 emas, tujuh perak dan satu pingat gangsa.

Malaysia berada di kedudukan kedua dengan tujuh emas, lima perak dan satu gangsa.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment