Monday, June 15, 2015

Balingan terakhir Rafiq tersasar


RAFIQ sekadar menggenggam pingat perak dalam acara Masters semalam selepas tewas kepada pemain Thailand.

SINGAPURA – Bintang muda boling negara, Muhammad Rafiq Ismail gagal menjelmakan emas keempat peribadi dan keenam buat pasukannya apabila tewas kepada pemain Thailand, Yannaphon Larpapharat pada saingan Masters di Orchird Country Club semalam.

Rafiq nyata kecewa dengan kekalahan tersebut dan mengakui bahawa sikap terlalu inginkan kemenangan akhirnya memerangkap dirinya apabila hanya mencatat 381 jatuhan pin untuk meraih perak selepas Yannaphon berjaya menjatuhkan 414 pin untuk mengungguli acara tersebut.

“Ia menjadi pengalaman berguna kepada saya ketika menentang pemain yang dianggap terbaik di Asia.

“Ini kali pertama saya bertemu dia dan sikap terlalu inginkan kemenangan membuatkan saya berada dalam keadaan tertekan. Saya juga berdepan kesukaran ekoran keadaan lorong dan saya lebih tertekan apabila melihat lawan saya bermain dengan baik.

“Selepas ini saya perlu memastikan prestasi saya sentiasa berada di tahap terbaik terutama ketika menyertai Kejohanan Dunia di Jepun pada bulan depan,” katanya ketika ditemui semalam.

Bagaimanapun, penampilan pertama Rafiq pada Sukan SEA kali ini dianggap cukup cemerlang selepas berjaya meraih tiga pingat emas dalam acara individu, trio dan berpasukan biarpun baharu berusia 18 tahun dan tidak diletakkan sebarang sasaran ketika hadir di sini.

Skuad boling negara menamatkan kempen Sukan SEA 2015 dengan lima pingat emas, satu pingat perak dan empat gangsa, sekali gus muncul selaku juara keseluruhan.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment