SINGAPURA, 15 Jun (Bernama) -- Sasaran awal pingat kontinjen negara pada Sukan SEA ke-28 Singapura yang diumumkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada majlis penyerahan Jalur Gemilang bulan lepas, hampir tercapai.
Khairy meletakkan sasaran 56 peratus atau sejumlah 180 pingat pelbagai warna dan hari ini selepas hari ke-10 temasya sukan itu, kontinjen negara telah mengumpul 177 pingat -- 59 emas, 53 perak dan 65 gangsa.
Berdasarkan kepada 39 jenis sukan yang dipertandingkan pada Sukan SEA Singapura, jumlah pingat emas yang dikumpul setakat ini mengatasi pencapaian di Sukan SEA 2011 di Indonesia.
Di Indonesia, Malaysia meraih 53 pingat emas, 39 perak dan 55 gangsa dalam 39 acara sukan yang sama dipertandingkan di Singapura, namun secara keseluruhan, kontinjen negara mengumpul 59 emas, 50 perak dan 81 gangsa pada temasya edisi 2011 itu.
Sementara di Myanmar dua tahun lepas, kontinjen negara memperoleh 33 pingat emas, 32 perak dan 64 gangsa melalui 39 acara yang sama dipertandingkan di sini.
Kontinjen negara di Sukan SEA Singapura mendapat suntikan semangat dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyaksikan beberapa acara sukan yang dipertandingkan hari ini.
Atlet negara berjaya menambah 14 pingat emas hari ini melalui acara memanah (4), pelayaran (3), pencak silat (3), gimnastik berirama (2), berbasikal (1) dan ski air (1).
Paling manis ialah pencapaian luar biasa dua gimnas cilik, N. Shasangari Sivaneswary dan Koi Sie Yan yang masing-masing meraih pingat emas dalam acara gimnastik berirama individu keseluruhan.
Sementara itu, Thailand terus menjarakkan diri daripada kontinjen tuan rumah untuk terus kekal selaku pendahulu dengan 87 pingat emas, 83 perak dan 64 gangsa manakala Singapura dengan 82 emas, 72 perak dan 98 gangsa.
Vietnam kekal di tempat ketiga dengan 73 emas, 51 perak dan 56 gangsa.
Sumber -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment