Monday, June 15, 2015

Pencapaian Di Singapura Adalah Yang Terbaik Sejak Edisi 2001 - Zanilisa

SINGAPURA, 15 Jun (Bernama) -- Pengurus skuad petanque negara, Zanilisa Mohamed menyifatkan kejayaan meraih satu emas, tiga perak dan satu gangsa pada Sukan SEA 2015, di sini merupakan pencapaian terbaik Malaysia sejak sukan berkenaan mula diperkenalkan pada edisi 2001 di Kuala Lumpur.

Beliau yang berbangga dengan kejayaan dicatatkan barisan muda atlet negara kali ini, turut berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara yang masing-masing menyediakan bantuan kewangan yang tinggi dan khidmat pakar psikologi sukan pada edisi ke-28 temasya sukan kali ini.

"Pencapaian ini menunjukkan peningkatan yang agak ketara kerana kita tidak pernah memenangi pingat emas kerana sebelum ini pencapaian terbaik adalah satu perak dan dua gangsa pada edisi 2009 di Laos," katanya.

Zanilisa berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan acara petanque di The Padang, di sini, Isnin malam.

Terdahulu, skuad petanque lelaki dan wanita negara gagal menambah pungutan pingat emas untuk kontinjen negara setelah masing-masing kalah kepada pilihan utama, Thailand dalam aksi final acara 'triples'.

Skuad lelaki yang dibarisi Muhd Hafizuddin Mat Daud, Syed Akmal Fikri Syed Ali dan Saiful Bahri Musmin bagaimanapun menampilkan persembahan mantap pada penghujung perlawanan sebelum kalah tipis 10-13 kepada trio Thailand.

Skuad wanita yang dianggotai oleh Suhartisera Zamri, Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz dan Siti Zubaidah Abu Talib pula mengalami kekalahan besar 4-13 kepada lawan yang sama.

Dalam pada itu, Zanilisa meminta MSN untuk menambah dana kewangan yang diberikan sebelum ini dalam mendedahkan skuad petanque negara kepada lebih banyak kejohanan antarabangsa sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2017 di Malaysia.

Tanpa mendedahkan jumlah dana kewangan yang diterima sebelum ini, Zanilisa berkata dana tambahan itu penting dalam menyaingi dominasi Thailand yang merupakan pasukan nombor satu di Asia Tenggara.

"Pasukan Thailand menjalani latihan persediaan dan pertandingan jelajah profesional selama dua bulan di Perancis yang merupakan negara pengasas sukan berkenaan sebelum hadir ke Singapura.

"Jadi perlu untuk kita mendedahkan atlet kita kepada lebih banyak kejohanan luar negara terutamanya dalam menyaingi pasukan Thailand yang kini berada di tangga kedua dunia di belakang Perancis," kata Zanilisa.

Seperti diramal, Thailand menepati ramalan selaku jaguhan dalam sukan berkenaan setelah membolot lapan daripada 10 pingat emas yang ditawarkan pada edisi ke-28 temasya sukan dwitahunan itu.

Malaysia meraih pingat emas tunggal menerusi Muhd Hafizuddin dalam acara individu lelaki; tiga perak menerusi acara beregu lelaki dan triples lelaki dan wanita.

Pingat gangsa tunggal disumbangkan oleh Mohamad Nuzul Azwan Ahmad Temizi dalam acara 'shooting' lelaki.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment