Monday, June 15, 2015

Atlet gimrama lakar sejarah


SIE YAN (kiri) dan N. Shasangari meraikan kejayaan selepas berjaya memenangi pingat emas dalam acara yang sama pada Sukan SEA 2015 di Singapura semalam. Dua atlet gimrama negara itu mengumpul jumlah mata yang sama, sekali gus berkongsi pingat emas.

SINGAPURA – Sejarah baharu tercipta buat kontinjen negara apabila meraih dua pingat emas dalam acara yang sama.

Ia tidak pernah berlaku sebelum ini sepanjang atlet negara beraksi pada Sukan SEA.

Sejarah dan kejayaan tersebut dilakar oleh dua gimnas berirama negara, N.Shasangari Sivaneswary dan Koi Sie Yan yang beraksi dalam acara all round individu di Pusat Sukan Bishan semalam selepas kedua-dua mereka berkongsi mata tertinggi iaitu 60.250 mata.

Shasangari yang baru berusia 16 tahun berkata, keputusan tersebut bagaikan satu keajaiban ketika dia dan Sie Yan beraksi buat kali pertama pada temasya sukan dwitahunan itu.

“Sebelum beraksi, kami sekadar menjangkakan untuk meraih satu pingat emas dan satu perak tetapi lain pula yang berlaku. Ia satu kejutan yang di luar jangkaan.

“Memang kami amat gembira dengan dua emas ini kerana ini juga merupakan sejarah buat sukan gimnastik negara,” katanya ketika ditemui selepas tamat saingan acara tersebut semalam.

Kejayaan dua gimnas negara meraih pingat emas itu menyebabkan tiada atlet lain menerima pingat perak kecuali gangsa yang menjadi milik atlet Thailand, Panjarat Prawatyotin dengan 57.350 mata.

Apa yang lebih membanggakan buat kedua-dua atlet muda negara itu adalah pingat emas yang dimenangi itu dikalungkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, dalam acara berpasukan keseluruhan, skuad negara meraih pingat perak dengan 27.400 mata selepas pingat emas acara tersebut menjadi milik tuan rumah, Singapura dengan 27.700 mata manakala gangsa diraih Thailand, 22.150 mata.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment