Monday, June 15, 2015

Badi emas Compound berakhir



SKUAD memanah negara tampil dalam kelas tersendiri apabila menguasai acara Compound pada Sukan SEA 2015 di Singapura semalam.

SINGAPURA – Air mata kegembiraan mengiringi kejayaan skuad memanah Compound lelaki negara selepas mereka merangkul pingat emas dalam acara berpasukan semalam, sekali gus menamatkan kemarau 10 tahun selepas kali terakhir memenanginya di Sukan SEA Manila, Filipina pada 2005.

Bagaimanapun, laluan tiga pemanah negara, Mohd. Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan dan Lee Kin Lip tidak mudah apabila menerima saingan sengit daripada trio Indonesia, Gusti Paruhito, Sapriatno dan Yoke Rizaldi Akhbar hingga ke pusingan akhir.

Selepas dua pusingan awal, skuad negara berjaya mendahului dengan kelebihan satu mata apabila mengutip 109 mata, dan pusingan ketiga menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan 164 mata.

Pusingan keempat dan terakhir menyaksikan pertarungan kedua-dua pasukan bertambah sengit apabila ia berakhir dengan keputusan seri apabila masing-masing mengutip 222 mata menyebabkan mereka terpaksa beraksi pada pusingan penentuan shoot-off yang kemudiannya memihak kepada pasukan negara dengan kelebihan satu mata apabila tiga panahan terakhir menepati sasaran untuk meraih 30 mata.

Menurut Mohd. Juwaidi, kejayaan tersebut membawa erti yang sangat besar buat mereka serta seluruh pasukan kerana kemenangan tersebut telah mengakhiri kemarau selama 10 tahun skuad Compound untuk meraih pingat emas pada Sukan SEA.

“Kita raih emas selepas 10 tahun kerana sejak acara Compound diperkenalkan di Manila kita hanya menang di sana. Saya rasa sangat terharu, usaha kami menjalani latihan sejak awal tahun akhirnya berbaloi.

“Pada peringkat awal, macam susah nak cari 10 mata, cuma pada penghujung saingan semua sudah nampak stabil. Rezeki sudah nampak bila keputusan akhir itu berkesudahan seri. Jadi, kami perlu melakukan panahan sekali seorang.

“Syukur semua dapat kawal emosi dan menang dalam acara akhir. Ketika shoot-off itu, kita dapat mata penuh sebab kami dapat kawal tekanan diri. Kami tak dengar apa yang jadi dekat luar sebab itu kami mampu buat yang terbaik dan menang,” katanya ketika ditemui selepas acara tersebut berakhir semalam.

Sementara itu, bagi Zulfadhli kejayaan tersebut cukup manis ketika pingat emas tersebut hadir pada penampilan pertamanya di Sukan SEA sehingga gagal mengawal sebak sebaik mendapat keputusan tersebut.

“Tadi ada perasaan gugup ketika beraksi sebab ini penampilan pertama di Sukan SEA, tetapi ia berakhir dengan sempurna. Saya dapat kawal diri dan melakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan pasukan ini.

“Kami sebenarnya tidak terkejut apabila berjaya mengutip mata penuh pada aksi penentuan shoot-off sebab kami sudah mengetahui kemampuan pasukan lawan. Sepanjang aksi tersebut, kami tidak fikir mengenai pasukan lawan (Indonesia) dan saya berpuas hati dengan kemenangan ini,” ujarnya.

Pingat gangsa untuk acara tersebut dimenangi Filipina yang menewaskan Singapura 230-223.

Selepas berakhirnya acara memanah semalam, skuad negara muncul juara keseluruhan dengan memungut lima pingat emas tiga perak dan dua gangsa.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment