Monday, June 15, 2015

‘Emas ke-50 istimewa’

UZAIR (kiri) dan Naquib mempamer emas dimenangi.

Debaran dirasai atlet pelayaran negara Uzair Yusof dan Naquib Eiman Shahrin pada perlumbaan kelas 420 bawah 19 tahun lelaki di Pusat Pelayaran Kebangsaan Singapura semalam cukup berbeza daripada biasa.

Gandingan negara itu bukan sekadar memburu pingat emas pertama dalam penampilan di Sukan SEA malah mahu memastikan emas ke-50 Malaysia di Singapura kali ini.

Kejayaan Uzair dan Naquib yang masing-masing berusia 15 tahun itu amat diharapkan apabila berjaya mendahului lawan dengan selesa kelmarin sebelum menambah 14 lagi mata untuk memenangi perlumbaan.

Mereka mengatasi saingan peserta tuan rumah dengan memenangi lapan daripada 10 perlumbaan untuk menamatkan saingan menerusi kelebihan 11 mata.

“Ini kali pertama saya bertanding di Sukan SEA jadi saya sangat gembira untuk memenangi emas ini. Walaupun kami sudah hampir mengesahkan pingat emas semalam (kelmarin) tapi kami masih perlu bekerja keras dalam perlumbaan terakhir. Emas ini cukup istimewa kerana ia pingat emas ke-50 Malaysia,” kata Naquib.

Penguasaan skuad negara dalam acara pelayaran itu tidak terhenti di situ apabila Khairulnizam Afendy membalas dendam kekalahannya dalam acara laser standard individu kepada atlet Singapura Cheng Colin sebelum ini dengan mengetuai barisan pelayar Farhan Hamid dan Ahmad Latif Khan bagi acara laser standard berpasukan final.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment