Monday, June 15, 2015

Jin Wei singkir pemain Thailand

Enam pingat gangsa sudah berada dalam genggaman apabila Malaysia mempunyai enam wakil untuk aksi di separuh akhir acara badminton perseorangan lelaki, wanita, beregu wanita dan campuran selepas kesemua cemerlang dalam saingan suku akhir di Stadium Tertutup Singapura semalam.

Bagaimanapun, tumpuan terarah kepada pemain berusia 15 tahun, Goh Jin Wei yang berjaya melakukan kejutan apabila menumpaskan pemain nombor 36 dunia dari Thailand, Nichaon Jindapon 21-16, 23-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 39 minit.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu yang menduduki ranking 264 dunia berkata, dia tidak jangka dapat mengalahkan Nichaon yang memiliki ranking dan pengalaman beraksi dalam beberapa kejohanan senior.

“Saya hanya cuba yang terbaik akhirnya berjaya me
lakar kejutan. Saya juga tidak jangka dan berasa bangga boleh menghadiahkan sekurang-kurangnya satu gangsa untuk negara dalam penampilan pertama di Sukan SEA,” katanya yang sebelum ini meraih perak untuk acara berpasukan wanita.

Jin Wei, yang meraih kejuaraan Sirkit Kebangsaan Terbuka Kuala Lumpur 2015 Februari lalu mengakui bahawa lawannya, Nichaon berada dalam keadaan tertekan, sebelum lawannya itu cuba memberi tentangan sengit di penghujung saingan set kedua.

“Saya berjanji akan berusaha sedaya upaya untuk menang perlawanan separuh akhir esok (hari ini) dan seterusnya mara ke akhir. Saya akan beraksi seperti biasa dan tidak ada apa yang perlu dirisaukan,” katanya yang mula bermain badminton pada usia enam tahun.

Menantinya di separuh akhir ialah wakil Indonesia, Hanna Ramadini yang sebelum itu mengalahkan Liang Xiaoyu 21-15, 11-21, 21-14.

Perseorangan lelaki, Chong Wei Feng turut mara selepas menumpaskan wakil Indonesia, Jonatan Christie 20-22, 21-19, 21-18 bagi menempah perlawanan bertemu Tanongsak Saensomboonsuk dari Thailand.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment