Tuesday, June 9, 2015

Selamat tinggal pingat emas

PEMAIN Thailand, Thawisak Thongsai (kiri) cuba melakukan rejaman
PEMAIN Thailand, Thawisak Thongsai (kiri) cuba melakukan rejaman ke gelanggang Malaysia dalam saingan peringkat kumpulan, semalam.

SINGAPURA – Jurulatih skuad sepak takraw negara, Abd. Talib Ahmad mengakui, mereka sudah boleh melupakan pingat emas acara berpasukan Sukan SEA 2015 selepas tewas dalam aksi awal kepada Thailand, di Expo Singapura, semalam.

Dalam perlawanan pertama itu skuad sepak takraw negara yang dibarisi tiga regu muda tewas 3-0 kepada Thailand.

Kata Abd. Talib, sasaran kini hanya untuk mendapatkan pingat perak dalam acara berpasukan selepas menang 2-1 dalam aksi kedua menentang Indonesia, semalam.

“Pasukan Thailand memang amat sukar untuk ditundukkan keranan mereka amat bagus ketika melakukan rejaman.

“Bagi memastikan pingat emas mampu diperolehi saya harap kelemahan pasukan ini terutama ketika bertahan dapat diperbaiki,” katanya selepas perlawanan peringkat kumpulan, di sini, semalam.

Pada perlawanan tersebut, regu pertama negara yang dibarisi Mohamad Azlan Alias selaku apit kanan, Muhamad Nazmi Mohamad Najib (tekong), Zuleffandi Sumari (apit kiri) tewas dengan keputusan 10-21, 13-21.

Regu kedua negara yang di­sertai Mohammad Syahir Mohd. Rosdi (tekong), Mohd. Hanafiah Dolah (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri) tewas dengan keputusan 8-21, 14-21.

Keputusan sama turut diperolehi regu ketiga yang dibarisi Mohd. Safarudin Abu Bakar (apit kiri), Mohd. Zamree Mohd. Dahan (apit kanan) dan Muhammad Hairul Haizizi Haidzir (tekong) yang tewas dengan keputusan 6-21, 19-21.

Hari ini skuad sepak takraw dijadual menentang Singapura dan sekiranya menang maka pingat perak berada dalam genggaman.

Sumber: UTUSAN

No comments:

Post a Comment