LOH JACK CHANG mempamerkan aksi emas dalam acara taijiquan di Expo Singapura, semalam
SINGAPURA – Lagu Negaraku akhirnya berkumandang di gelanggang wusyu pada hari terakhir acara itu selepas Malaysia menggondol dua pingat emas dalam acara wajib taijiquan lelaki dan duilian barehand berpasukan wanita di Expo Singapura, semalam.
Emas wusyu negara dalam acara wajib taijiquan lelaki diperoleh menerusi Loh Jack Chang, manakala satu lagi emas dihadiahkan trio wanita, Chan Audrey Yee Jo, Chan Lu Yi serta Cheah Aggie Ruey Shin.
Dalam aksi taijiquan wajib, Jack Chang berjaya meyakinkan sembilan juri dengan aksi bertenaganya untuk mengumpul 9.71 mata, manakala pingat perak menjadi milik atlet Singapura, Samuel Tan Wei Han yang mengumpul 9.69 mata sementara gangsa milik Kuniawan Julias Yoga (9.67 mata).
Kata Jack Chang, dirinya amat terkejut apabila berupaya menghadiahkan pingat emas pada Sukan SEA kali ini berikutan sedar ramai pencabar yang hebat.
“Saya amat gembira dengan kemenangan ini dan saya anggap ini satu kejayaan yang amat bermakna buat diri saya tambahan pula sudah lama saya tidak meraih pingat emas selepas kali terakhir pada Sukan SEA 2009 di Laos.
“Semasa pertandingan memang ada tekanan tambahan pula wusyu belum meraih emas, namun saya dapat atasinya dengan baik selain tidak terlalu memikirkan sangat perkara tersebut semasa di atas gelanggang,” kata Jack Chang selepas tamat saingan aksi taijiquan wajib lelaki di sini, semalam.
Sementara itu, dalam aksi barehand wanita menyaksikan Malaysia berupaya mengumpul 9.65 mata untuk pingat emas menewaskan Myanmar yang meraih pingat perak selepas memperoleh 9.58 mata. Gangsa milik Laos dengan 9.57 mata.
Tamat saingan wusyu semalam, menyaksikan Malaysia sekadar mampu mengumpul dua pingat emas, tiga perak dan empat gangsa.
Pada Sukan SEA 2013 di Myanmar, wusyu menyumbang tiga pingat emas, lima perak dan enam gangsa dalam 23 acara yang dipertandingkan.
Sumber: UTUSAN
No comments:
Post a Comment