SINGAPURA – Renang masih tidak menghampakan buat kontinjen negara apabila Phee Jing En meraih emas kedua acara itu dalam Sukan SEA 2015 menerusi 100 meter kuak dada wanita, semalam.
Selepas Wong Fu Kang menghadirkan emas pertama kelmarin, giliran Jing En, 17, memastikan renang tidak kering dengan kilauan emas.
Malah, dia mencatat masa peribadi terbaik 1 minit 10.47 saat untuk mengatasi rekod yang dilakukan pada Terbuka Malaysia, Mac lalu (1:10.75 s).
Membuat penampilan pertama Sukan SEA kali ini, Jing En juga mengejutkan rakan senegara, Christina Loh yang merupakan pemenang pingat emas acara tersebut di Myanmar, dua tahun lalu.
Ketika ditemui, Jing En tidak menyangka mampu melakukan catatan yang baik untuk pulang bersama emas hanya dalam penampilan pertamanya.
“Setelah bekerja keras selama ini, saya sangat gembira kerana melihat kepada catatan masa yang dilakukan, saya sebenarnya mampu lakukan lebih pantas,” katanya.
Tambah Jing En, dia baharu sahaja menyertai skuad kebangsaan tahun lalu dan gembira dengan peningkatan prestasi yang dianggap mendadak dalam tempoh jangka pendek ini.
“Memandangkan saya baharu sahaja bersama pasukan kebangsaan, banyak perubahan telah saya alami dan saya amat gembira kerana mampu buktikan sesuatu,” katanya.
Rekod acara ini masih dipegang oleh bekas perenang negara, Siow Yi Ting iaitu 1:09.82s yang dilakukan di Laos pada 2009.
Dalam acara lain yang melibatkan wakil negara, Tern Jian Han menamatkan saingan 200m kuak lentang lelak di tempat keempat dengan catatan masa 2:06.15s.
Acara itu dimenangi perenang tuan rumah, manakala perak milik Vietnam dan gangsa oleh Indonesia.
Sumber: UTUSAN
No comments:
Post a Comment