Muhd Hafizuddin Mat Daud puas selepas akhirnya meraih pingat emas pertamanya dalam Sukan SEA selepas menewaskan pemain pilihan, Chhoeun Thong dari Kemboja di Singapura, semalam.
SINGAPURA - Tidak kenal erti putus asa, akhirnya membawa Muhd. Hafizuddin Mat Daud melakar sejarah menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara petanque Sukan SEA selepas muncul juara perseorangan lelaki di The Padang, semalam.
Malah, Hafizuddin turut membuktikan tempoh persiapan yang singkat bukan penghalang buatnya untuk mempamer aksi cemerlang apabila mengetepikan lawan dari Kemboja, Chhoeun Thong 13-6.
Atlet kelahiran Kelantan berusia 22 tahun itu menjangkakan peluangnya sudah berakhir apabila ketinggalan 0-5.
Begitupun, semangat juang yang tinggi membantunya mencatat kebangkitan hebat sebelum melakar kemenangan tidak diduga.
“Dalam perlawanan akhir, saya dapati diri saya tiba-tiba tertekan dan sangat emosional, biarpun menunjukkan ketenangan di awal permainan.
“Bagaimanapun saya enggan berputus asa begitu saja...ini adalah peluang terbaik saya untuk menang emas.
“Semangat saya sedikit menurun selepas ketinggalan tetapi jurulatih dan rakan-rakan tidak henti-henti memberi sokongan. Mereka memberi semangat kepada saya dan mengembalikan keyakinan saya.
“Selepas itu, saya mula berfikir...saya boleh melakukannya untuk Malaysia.
“Saya sangat gembira dan agak emosional ketika ini... ini adalah pingat emas pertama Malaysia dalam sukan petanque,” kata Hafizuddin, yang membuat persiapan kurang enam bulan untuk acara perseorangan kerana dia sebelum beraksi dalam saingan beregu dan trio.
Hafizuddin, yang mula beraksi dalam sukan petanque sejak lapan tahun lalu berharap, kemenangan ini akan memberi inspirasi kepada rakan-rakannya untuk memburu emas dalam saingan berpasangan dan trio.
Pencapaian terbaik Malaysia dalam acara petanque Sukan SEA sebelum ini adalah meraih dua perak dan satu gangsa di Temasya Laos 2009.
“Saya hanya bermain untuk acara individu sejak Januari lalu sewaktu menyertai kejohanan Piala Dunia 2015 di Perancis.
“Sejak itu, jurulatih memberitahu bahawa saya mampu cemerlang dalam acara individu kerana itu saya cuba mencabar diri beraksi dalam acara yang baharu bagi saya.
“Semasa saingan menentang lawan dari Kemboja tadi (semalam) saya dicabar hebat, namun berkat kesabaran membolehkan saya mendahului dengan baik sekali gus meraih kemenangan,” katanya lagi yang meraih gangsa di Temasya Palembang 2011 dan Myanmar 2013.
Sementara itu, pingat gangsa petanque individu lelaki dikongsi bersama atlet Vietnam, Ron Ngo dan atlet Laos, Phoudthala Keokannika yang tersingkir dalam saingan separuh akhir.
Sumber: UTUSAN
No comments:
Post a Comment