Sorakan penonton di Lapang Sasar Menembak Safra Yishun mencetuskan rasa gementar buat penembak negara Jonathan Wong yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara 10m air pistol individu lelaki semalam.
Mendahului hingga tembakan ke-17, atlet negara itu gagal memberi tumpuan untuk membuat bidikan tepat pada tembakan terakhir sekali gus menyaksikan kedudukannya dipintas penembak Vietnam, Tran Quoc Cuong.
Jonathan mengutip 195.1 mata ketinggalan 2.3 mata dengan pemenang emas itu manakala gangsa menjadi milik seorang lagi wakil dari Vietnam, Hoang Xuan Vinh apabila mengumpul 178.2 mata.
Menurut Jonathan, sorakan penonton ketika aksi final itu banyak memberi kesan kepada tembakan terakhirnya.
“Penonton menjerit dengan kuat. Dia (Quoc Cuong) melakukan tembakan dulu dan bila sampai giliran saya, penonton menjerit dengan lebih kuat membuatkan saya sangat gementar.
“Sorakan itu membuatkan saya tidak boleh beri tumpuan dan di situ saya buat kesilapan. Memang saya sedih, kerana tembakan terakhir itu menentukan kemenangan tapi saya gagal buat dengan baik,” katanya yang akur dengan kekalahan kepada Quoc Cuong yang lebih berpengalaman.
Namun pingat perak itu sekurang-kurangnya menebus kekecewaan dalam acara berpasukan selepas gandingan bersama Eddy Chew dan Choo Wen Yah sekadar menduduki tangga keempat.
Ia juga perak pertama buat Jonathan pada Sukan SEA sejak 2011 dan dia berazam untuk bangkit dalam acara 50m pistol selepas ini.
Sementara itu, skuad menembak negara terpaksa terus kemarau emas selepas dua hari acara menembak apabila trio negara Joseline Cheah, Bibiana Ng dan Wahidah Ismail turut memenangi perak dalam acara 10m air pistol wanita.
Mereka meraih 1,125 mata, ketinggalan kepada penembak Thailand (1,134 mata) dan wakil tuan rumah gangsa (1,121 mata).
Dalam acara individu, Joseline gagal memberikan aksi terbaik dengan menduduki tangga keenam manakala Bibiana kelapan.
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment