Monday, June 8, 2015

Hoki negara terus momentum kemenangan

Skuad hoki wanita negara terus cemerlang apabila meraih kemenangan kedua ke atas Thailand di Stadium Hoki Sengkang semalam untuk mencari slot ke saingan akhir pada 12 Jun ini.

Malaysia yang juga juara bertahan berjaya mengalahkan skuad Gajah Putih 4-0 semalam dan hanya berbaki satu lagi perlawanan berdepan Indonesia esok.

Menurut jurulatihnya, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim, anak buahnya mengekalkan momentum dan beliau sendiri mempunyai perancangan terbaik bagi mempersiapkan pemain sebelum mara ke perlawanan akhir.

“Perlawanan hari ini (semalam) adalah untuk mencari kemenangan,” katanya.

Jelasnya, terdapat beberapa taktikal dan perancangan seperti ketika menentang Singapura (kelmarin) tidak digunakan dalam perlawanan semalam dan beberapa pemain pula direhatkan.

“Apapun hari ini, saya dapat lihat pemain beraksi sambil lewa ataupun mereka kepenatan selepas perlawanan yang agak susah dengan tuan rumah semalam (kelmarin).

“Kami akan bermain untuk menang dengan Indonesia (esok) dan beberapa pemain utama terpaksa direhatkan kerana kecederaan bagi menyiapkan mereka untuk final nanti,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Antara pemain yang terpaksa direhatkan pengendali itu ialah Norbaini Hashim dan Raja Norsharina Raja Shabuddin memandangkan kedua-duanya sedang dalam proses pulih daripada kecederaan.

Semalam, Noor Hasliza Md Ali membuka jaringan pada minit ke-32, sebelum giliran Wan Norfaeizah Md Saiuti pula mencetak nama sebagai penjaring tiga minit kemudian.

Rabiatul Adawiyah Mohamed pula menjaringkan dua gol pada minit ke-38 dan 40 untuk mengesahkan kemenangan Malaysia.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment