Hujan lebat memberi tuah buat atlet triatlon lelaki negara, Rikigoro Shinozuka apabila berjaya meraih pingat perak dalam acara itu semalam.
Atlet berdarah kacukan Jepun itu mencatat masa dua jam lima minit 35 saat, di belakang pemenang pingat emas dari Filipina, Nikko Bryan Huelgas (2’04:32s), manakala gangsa milik atlet tuan rumah, Loo Chuan Rong (2’07:01s).
Menurutnya, ketika memulakan aksi dalam disiplin renang dia tidak memberikan persembahan terbaik sebelum bangkit semula ketika berbasikal dan berlari dalam cuaca hujan.
“Saya suka mengambil bahagian dalam acara triatlon dalam cuaca sebegini, saya tidak suka cuaca panas. Sebenarnya saya seorang yang sentiasa mengambil risiko jadi, hujan, jalan licin dan bahaya akan memberi kelebihan kepada saya,” kata atlet berusia 20 tahun itu.
Jelasnya, dia berasa sangat gembira apabila meraih pingat perak dalam penampilan pertama di Sukan SEA dan sejak dari awal meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya berada di kedudukan tiga terbaik.
“Ketika disiplin berbasikal saya berada di kedudukan terbaik tapi saya tidak mahu terlalu mengerah kudrat namun semuanya berubah apabila kami memulakan larian dan Nikko memintas saya.
“Sejak dari itu saya hanya bersaing dengan diri saya sendiri, saya berlari tanpa toleh ke belakang. Jika dapat meraih ingat emas saya akan berasa sangat gembira tapi perak juga sudah boleh membuatkan saya tersenyum,” katanya.
Ditanya mengenai Huelgas, Rikigoro berkata, lawannya itu memang sentiasa menjadi atlet nombor satu Asia Tenggara tetapi dia berjanji akan memberikan tentangan sengit dalam apa juga pertandingan.
“Minggu depan saya akan beraksi pada Kejohanan Bawah 23 tahun Asia di Taiwan dan saya meletakkan sasaran untuk menduduki 10 tempat terbaik. Sebelum ini saya pernah beraksi pada dua Kejohanan Remaja Dunia 2013 (London) dan 2014 (Kanada) dengan berada di antara 60 hingga 70 terbaik dunia,” katanya yang lahir di Subang Jaya.
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment