Saturday, June 13, 2015

Rekod baharu penawar duka

KUARTET 4x100m wanita negara (dari kiri) Siti Fatima Mohamad,
KUARTET 4x100m wanita negara (dari kiri) Siti Fatima Mohamad, Komalam Shally Selvaretnam, Noor Amira Mohamad Nafiah dan Zaidatul Husniah Zulkifli meraikan kejayaan mereka selepas menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan akhir di Stadium Nasional Singapura semalam. UTUSAN

SINGAPURA – Rekod baharu 4x100 meter lelaki kebangsaan berusia 14 tahun menjadi penawar kegagalan kuartet negara meraih sebarang pingat acara itu semalam namun rakan-rakan wanita mereka menduduki tempat ketiga di Stadium Nasional Singapura.

Kuartet 4x100m lelaki yang dibarisi Johnathan Nyepa, Mohd. Izzuddin Yahaya, Harith Ammar Mohd. Sobri dan Nixson Kennedy mencatat masa 39.67 saat untuk sekadar menamatkan persaingan di tempat keempat.

Catatan masa tersebut memperbaharui rekod lama 39.83s yang dilakukan oleh Watson Nyambek, Nazmizan Muhammad, Azmi Ibrahim dan R. Ganeshwaran yang dilakukan dalam Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur.

Mohd. Izzuddin berkata, misi mereka untuk memperbaharui rekod kebangsaan tercapai kerana teknik larian yang betul selain semangat sepasukan yang dipamerkan semua pelari.

“Saya gembira dengan kejayaan ini kerana sudah terlalu lama rekod ini tidak diperbaharui dan kami anggap ini sebagai pencapaian terbaik biarpun tidak meraih sebarang pingat.

“Dalam masa sama saya juga ingin berterima kasih kepada jurulatih saya Nazmizan yang telah meyakinkan kami bahawa kami mampu untuk memperbaharui rekod kebangsaan,” katanya.

Pingat emas 4x100m lelaki menjadi milik kuartet Thailand yang merentasi garisan penamat dalam masa 38.99s manakala pingat perak diraih Singapura yang mencatat masa 39.24s. Kuartet Indonesia menduduki tempat ketiga dengan masa 39.32s.

Sementara itu, pingat gangsa kuartet wanita negara, yang dibarisi Siti Fatimah Muhammad, Zaidatul Husniah Zulkifli, S. Komalam Shally dan Noor Amirah Mohammad Nafiah hanya dapat ditentukan menerusi photo finish selepas dicabar hebat oleh Singapura sewaktu tiba di garisan penamat.

Kuartet wanita negara mencatat masa 45.41s, tewas kepada Thailand yang meraih pingat emas dengan masa 44.27s manakala perak milik Vietnam yang menamatkan larian dalam masa 44.77s.

Rombakan ke atas giliran pelari yang dilakukan dua minggu lalu, kata Siti Fatimah, telah membantu mereka untuk menghadiahkan pingat acara itu kepada kontinjen Malaysia buat kali pertama sejak 2009 di Laos.

“Kami mempunyai keserasian dalam kalangan semua pelari dan ini adalah keistimewaan kami malah umpama sebuah keluarga.

“Kejayaan meraih pingat gangsa ini sesuatu yang membanggakan untuk olahraga negara kerana sudah lama juga kami tidak meraih pingat Sukan SEA dalam acara 4x100m wanita,” kata Siti Fatimah. 

Sumber – UTUSAN

No comments:

Post a Comment