Saturday, June 13, 2015

Kecederaan keting jejaskan 
Danial beri tentangan sengit

SINGAPURA – Muhammad Danial Muhd. Azri berusaha melupakan kesakitannya namun ternyata kecederaannya menyukarkan dia untuk mengatur gerak menyerang dan akhirnya tewas kepada peserta Indonesia, Reinaldy Atmanegara 6-11 dalam pertarungan akhir taekwondo kelas Bawah 54kg lelaki Sukan SEA 2015 di Pusat Expo Singapura semalam.

Sudah cuba sedaya mungkin, kegagalan Danial yang baharu berusia 19 tahun dalam pentas akhir bermakna kemarau untuk melihat pingat emas dalam acara kyorugi (gerak tempur) sejak kemenangan S. Saravanan pada 2001 gagal ditamatkan.

Mengakui kurang persediaan sebelum tiba di sini, penuntut Diploma Sains Pengurusan di Universiti Malaya itu sendiri tidak menjangka mampu mara sejauh itu dalam aksi sulungnya dalam Sukan SEA.

Namun, kejayaan menundukkan peserta pilihan dari Filipina, Jenar Torillos 14-13 dalam separuh akhir dianggap sebagai satu pencapaian besar untuk dirinya walaupun sedikit ralat apabila tewas kepada Atmanegara.

“Kaki saya sebenarnya cedera di bahagian tulang keting akibat banyak berlaga dan dalam perlawanan akhir, kesakitan saya memang tidak mampu ditanggung lagi.

“Mungkin saya kena belajar tahan sakit pada masa akan datang selain melakukan persiapan lebih rapi kerana hanya berlatih selama enam bulan secara intensif sebelum ke Sukan SEA,” katanya.

Pada acara sebelah pagi, satu pingat perak dan dua gangsa berjaya diraih dalam acara poomsae yang menjadikan permulaan menarik kepada taekwondo kali ini.

Dalam acara poomsae campuran, gandingan Kok Jun Ee-Yap Kim Wen membolot perak selepas meraih 7.785 mata dengan pemenang pingat emas menjadi milik Vietnam dan gangsa milik bersama Singapura dan Thailand.

Dua lagi gangsa diraih dalam poomsae berpasukan lelaki (Chew Wei Yen, Kok Jun Ee, Yong Jin Kun) dan poomsae individu lelaki (Yong Jin Kun). 

Sumber – UTUSAN

No comments:

Post a Comment