Tuesday, June 16, 2015

Rampas pingat emas


PEMAIN bola keranjang wanita negara meraikan kemenangan menewaskan Vietnam pada perlawanan akhir di Arena OCBC, Singapura semalam.

SINGAPURA – Kejayaan skuad bola keranjang wanita negara meraih pi­ngat emas acara tersebut pada temasya Sukan SEA 2015 ternyata amat istimewa buat R. Kalaimathi.

Kalaimathi, 25, muncul sebagai penjaring terbanyak dengan 14 mata ketika menewaskan Vietnam 80-52 di Arena OCBC, Singapura semalam, sekali gus memastikan pingat emas ke-60 buat kontinjen negara.

Begitupun, pemain tengah kelahi­r­an Segamat, Johor itu sebenarnya hampir melupakan edisi ke-28 kali ini gara-gara kecederaan Meniscus Cruciate Ligament (MCL) pada lutut kiri.

“Mula-mula saya ingat tak dapat bermain kerana saya mengalami kecederaan MCL seminggu sebelum ke Sukan SEA 2015. Doktor juga me­nyarankan agar saya banyak berehat.

“Kecederaan ini berlaku sewaktu aksi persahabatan sebagai persediaan ke Singapura. Akhirnya, saya terpilih juga dan sangat gembira kerana me­rampas semula pingat emas,” katanya selepas tamat aksi terakhir liga sepu­singan semalam.

Kekalahan Malaysia kepada Fi­lipina 63-74, 11 Jun lalu menyaksikan harap­an emas semakin kabur, namun ke­mbali cerah selepas Indonesia mencipta kejutan dengan menewaskan pasukan itu 61-56.

Peluang tersebut dimanfaatkan de­ngan baik oleh Malaysia apabila bangkit menewaskan Singapura 65-39 dan Vietnam semalam termasuk dua kemenangan terdahulu, Indonesia (70-45) serta Thailand (65-56).

Prestasi cemerlang itu sekali gus menyaksikan Malaysia menjuarai liga sepusingan untuk meraih pingat emas, Indonesia perak dan Thailand gangsa.

Lebih manis, pingat emas tersebut akhirnya menamatkan penantian skuad bola keranjang wanita selepas kali terakhir memenanginya pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.

Sebagai rekod, Malaysia sekadar meraih pingat gangsa pada temasya Myanmar dua tahun lalu.

“Semangat kami jatuh sewaktu tewas kepada Filipina tetapi kami sedikit bertuah apabila Indonesia berjaya menewaskan mereka.

“Kejayaan ini sangat istimewa buat saya. Tahun lepas saya terlepas kerana cedera tetapi kali ini saya gembira, kami berjaya merampas semula pi­ngat emas,” ujarnya.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment