NATASHA EZZRA nekad menebus kekecewaan tewas kepada atlet Singapura pada Sukan SEA di Kuala Lumpur dua tahun lagi.
“SAYA sepatutnya menang perlawanan itu.” Begitulah luahan atlet lawan pedang negara, Natasha Ezzra Abu Bakar berhubung kekalahannya kepada atlet Singapura, Wenying Wang dalam saingan suku akhir acara foil individu pada Sukan SEA ke-28 di Singapura.
Kekalahan tersebut sekali gus meranapkan impiannya untuk meraih emas dalam acara tersebut, namun Natasha Ezzra dengan tegas mendakwa mutu pengadilan yang berat sebelah menyebabkan dia tumbang kepada atlet tuan rumah itu.
“Saya cukup kecewa apabila terkandas pada peringkat suku akhir, lebih-lebih lagi apabila tewas kepada atlet tuan rumah. Sebenarnya, saya boleh menang perlawanan itu.
“Namun, mutu pengadilan ternyata tidak memihak kepada saya apabila memberikan kemenangan kepada Singapura dengan kelebihan satu mata walaupun saya banyak melakukan asakan dan pihak juri seharusnya memberikan mata kepada saya.
“Ada beberapa mata yang sepatutnya diberikan kepada saya, namun pengadil ternyata berat sebelah dalam membuat keputusan dengan memberikan kelebihan kepada atlet tuan rumah. Bagi saya, mereka (pengadil) antara faktor kekalahan saya,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi baru-baru ini.
Selain itu, Natasha Ezzra juga mengakui dia ‘lambat panas’ pada perlawanan tersebut selain berasa cukup kecewa apabila tumbang dengan kekalahan tipis 14-15.
“Saya tidak hilang fokus, saya rasa biasa sahaja tapi mungkin saya lambat panas sebab separuh masa kedua itu saya mampu beraksi dengan lebih baik. Saya mahu lupakan kegagalan pada kali ini,” ujarnya lagi.
Atlet berusia 24 tahun itu juga berikrar mahu menebus kekecewaan tersebut pada Sukan SEA 2017 apabila Malaysia menjadi tuan rumah bagi temasya dwitahunan rantau Asia Tenggara itu.
“Sudah tentu saya mahu tebus balik kekalahan ini pada Sukan SEA yang akan datang dan Singapura adalah lawan yang saya mahu tewaskan kerana menganggap mereka sebagai musuh ketat. Tambahan pula, kita akan menjadi tuan rumah pada temasya itu nanti,” ujarnya.
Sumber: KOSMO
No comments:
Post a Comment