SKUAD terjun negara memahat kejayaan cemerlang apabila menyapu bersih lapan pingat emas pada Sukan SEA 2015.
SINGAPURA – Skuad terjun negara menepati ramalan apabila mengulangi pencapaian Sukan SEA di Myanmar dua tahun lalu apabila turut menyapu bersih lapan pingat emas yang dipertandingkan pada temasya kali ini.
Paling mencuri perhatian adalah aksi Ooi Tze Liang meraih empat emas dalam empat acara disertai serta persembahan jaguh terjun dunia, Pandalela Rinong yang langsung tidak dicabar peserta dari negara lain kecuali rakan sepasukannya, Loh Zhiayi meraih gangsa.
Menurut jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang, beliau gembira dengan aksi cemerlang yang dipamerkan anak-anak buahnya pada aksi Sukan SEA kali ini apabila sekali lagi berjaya menyapu bersih pingat emas dalam lapan acara yang dipertandingkan.
“Saya gembira dengan persembahan atlet di sini. Ada beberapa atlet yang baru buat penampilan kali pertama di sini seperti Mohamad Syafiq (Puteh) sudah menunjukkan persembahan yang baik walaupun tidak meraih pingat.
“Saya juga gembira kerana catatan mata yang diperoleh oleh penerjun kita juga sangat baik. Ooi Tze Liang contohnya berjaya melakukan terjunan yang lebih baik dan mata yang diperoleh juga semakin meningkat berbanding kejohanan-kejohanan sebelum ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambahnya, selepas berakhirnya Sukan SEA, beberapa penerjun akan dipersiapkan untuk menyertai Kejohanan Universiti Dunia yang berlangsung di Gwangju, Korea Selatan bermula 3 hingga 14 Julai ini.
Katanya, skuad terjun negara juga mempunyai misi lebih besar iaitu menyertai Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Kazan, Rusia bulan depan selain perlu mencari mata untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Rio, Brazil tahun depan.
“Sukan SEA ini menjadi medan terbaik untuk saya melihat prestasi para penerjun biarpun tahap pertandingan ini lebih rendah berbanding pencapaian skuad negara tetapi ia masih satu pertandingan yang kompetitif.
“Bagi saya temasya ini cukup baik terutama dalam memberikan pendedahan kepada atlet muda dan untuk atlet yang lebih senior, di sini adalah tempat untuk mereka mengenal pasti kesilapan dan memperbaikinya untuk pencapaian lebih baik dalam kejohanan besar lain,” ujarnya.
Sumber: KOSMO
No comments:
Post a Comment