Berpeluang meraih pingat emas pada aksi final menentang Wei Feng di Stadium Tertutup Singapura hari ini.
SINGAPURA – Dua pemain perseorangan negara, Chong Wei Feng dan Mohamad Arif Abdul Latif berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir acara perseorangan pada Sukan SEA kali ini yang akan berlangsung hari ini, sekali gus menjamin pingat emas dan perak menjadi milik kontinjen negara.
Pada aksi pertama, Wei Feng terpaksa bekerja keras sebelum berjaya menundukkan lawannya dari Thailand, Tanongsak Saensombonsuk 13-21, 21-18, 21-15 dalam masa 54 minit sebelum mengesahkan tempat di pentas akhir.
Menurutnya, dia hampir berputus asa selepas set pertama tewas mudah dan gagal memberikan saingan kepada jaguh Thailand itu, namun dorongan kuat daripada Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hensen menyebabkan dia kembali menemui rentak dan berjaya memenangi set kedua untuk mengheret aksi ke rubber-set.
“Ketika tewas set pertama, saya agak ragu-ragu tapi saya mahu berterima kasih kepada Frost yang berada di belakang dan memberi sokongan kepada saya. Dia minta saya terus fokus kepada perlawanan walaupun lawan mendahului dan mengingatkan saya supaya merapatkan jurang mata kerana jika lawan meninggalkan saya lima atau enam mata, saya akan kalah.
“Dari satu perlawanan ke satu perlawanan saya dapat rasakan aksi saya semakin baik dan ketika bertemu Tanongsak saya tahu saya mampu menang jika bermain dengan baik.
“Saya terpaksa bekerja keras selepas sembuh daripada kecederaan. Cara saya bertahan juga tidak begitu baik sejak dua tiga bulan lalu. Saya mahu fokus memperbaiki corak bertahan untuk perlawanan esok (hari ini),” katanya ketika ditemui selepas perlawanan semalam.
Sementara itu, Arif turut menepati ramalan apabila mudah menundukkan pemain tuan rumah, Loh Kean Yew dengan straight-set 22-20, 21-15 pada aksi separuh akhir untuk menempah satu lagi slot pada perlawanan akhir hari ini.
Bagaimanapun, dia turut mengakui agak gementar pada permulaan permainan selepas lawannya itu menerima sokongan padu daripada penyokong mereka sendiri menyebabkan dia agak ketinggalan pada set pertama dan kedua sebelum menang.
“Frost suruh saya fokus dan saya mula kutip mata demi mata. Keyakinan saya kembali semula. Saya tahu dia (Kean Yew) berasal dari Malaysia tetapi dia sudah lama menetap di sini dan menjadi warga Singapura, dia bermain untuk negaranya dan saya bermain untuk negara saya.
“Menentang Wei Feng esok (hari ini) saya fikir peluang kami 50-50. Saya harap kami dapat mempamerkan aksi yang baik pada perlawanan akhir nanti. Saya akan cuba yang terbaik untuk dapatkan pingat emas,” katanya.
Sumber: KOSMO
No comments:
Post a Comment