Tuesday, June 16, 2015

Basikal tidak ketandusan bakat jika tiada isu dalaman

Sekian lama tenggelam, skuad lumba basikal lebuh raya negara boleh tersenyum bangga dengan pencapaian dua pingat emas dan tiga gangsa selepas menamatkan kempen Ahad lalu.

Emas sumbangan Mohd Harrif Saleh dalam acara kriterium dan lepas beramai-ramai lebuh raya sudah cukup untuk membuktikan kita sebenarnya tidak ketandusan pelumba hebat.

Namun sebenarnya agak pelik untuk melihat negara terpaksa menunggu sehingga 10 tahun untuk meraih emas selepas kali terakhir dilakukan Suhardi Hassan di Manila 2005 sedangkan kita memiliki pelumba bertaraf profesional.

Bagaimanapun Harrif, 27, yang kini mewakili kelab Terengganu Cycling Team (TSG) berkata Malaysia tidak perlu melalui kemarau panjang itu jika semua pihak bersatu.

“Sebenarnya kita tidak perlu tunggu lama untuk menang emas di sini jika tiada masalah dalam pasukan. Lihat apa yang berlaku di Myanmar (2013) bila ada pelumba pada saat akhir ditukarkan.

“Pelumba yang ada pencapaian baik tak disenaraikan. Tapi tahun ini kita dimaklumkan lebih awal siapa yang akan pergi jadi boleh bersedia lebih awal,” katanya.

Beberapa kontroversi melanda Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) khususnya pemilihan atlet ke kejohanan antarabangsa sebelum ini dan Myanmar 2013 tidak terkecuali apabila kemuncaknya pelumba negara didakwa cuba memboikot perlumbaan itu.

Namun kali ini semangat berpasukan cukup tinggi ditunjukkan lima pelumba TSG Harrif, Anuar Manan, Mohd Zamri Saleh, Adiq Husainie Othman, Saiful Anuar Aziz dan seorang pelumba kebangsaan Fauzan Ahmad Lutfi untuk mengatasi pencapaian satu perak dan satu gangsa, dua tahun lalu.

“Apa yang perlu dilakukan semua pihak perlu bersatu. Jika ada masalah dalam pasukan memang susah untuk capai sasaran,” kata Harrif.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment