Skuad bowling negara tidak pernah menghampakan sejak acara itu dipertandingkan di Sukan SEA dan ini dibuktikan sekali lagi di temasya edisi ke-28 di Singapura.
Lima emas, satu perak dan tiga gangsa yang diraih kali ini pencapaian memberangsangkan apabila menyamai kutipan emas di Indonesia pada 2011.
Dalam temasya dwi tahunan di Myanmar dua tahun lalu, sukan ini tidak dipertandingkan.
Bagi jurulatih kebangsaan Holloway Cheah, beliau bangga dengan pencapaian anak buahnya yang mendominasi carta kutipan mengatasi pencabar terkuat tuan rumah Singapura.
“Secara keseluruhan ini pencapaian kedua terbaik selepas tujuh emas (Brunei 1999 dan Kuala Lumpur 2001).
“Selain persembahan cemerlang Rafiq (Ismail), kita juga mempunyai pemain wanita yang pertama kali beraksi kali ini Natasha (Roslan) dan Syaidatul Afifah (Badrul Hamidi). Mereka ini mempunyai masa depan cerah,” katanya.
Tidak dinafikan Rafiq, 18, paling cemerlang dengan emas individu, trio dan berpasukan, sekali gus hampir menyamai rekod empat emas Adrian Ng jika menang acara Masters kelmarin.
“Memang ini penampilan pertama Rafiq di Sukan SEA tapi sudah mempunyai pengalaman di pentas antarabangsa seperti Kejohanan Dunia dan Sukan Asia, jadi dia sebenarnya boleh beraksi lebih baik,” kata Holloway.
Atlet wanita juga tidak mengecewakan apabila meraih emas berpasukan selain gandingan Esther Cheah dan Sin Li Jane menjuarai emas acara double.
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment