Wednesday, June 10, 2015

Rafiq cemas sebelum lakukan balingan emas

RAFIQ dicabar hebat pemain Singapura sebelum berjaya menghadiahkan pingat emas dalam acara perseorangan lelaki semalam.

SINGAPURA – Pingat emas pertama acara boling yang dimenangi Muhd. Rafiq Ismail dalam acara perseorangan lelaki pada hari pertama di Kelab Orchid Country semalam hampir terlepas daripada genggaman.

Ia gara-gara kemerosotan balingan Rafiq bermula pada set kelima dan enam, sekali gus membolehkan dua pencabar utama iaitu Annop Arromsaranon dari Thailand dan pemain Singapura, Javier Tan dilihat mampu meranapkan impian bintang muda negara itu.

Bagaimanapun, kecemerlangan pada empat set awal dengan jumlah keseluruhan 1,308 jatuhan pin menyaksikan pemain berusia 18 tahun itu berjaya meraih pingat emas.

Arromsaranon terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila tewas tipis, kurang tiga pin dengan Rafiq manakala gangsa menjadi milik Javier Tan (1,284).

“Semangat saya terjejas sedikit sewaktu permainan kelima kerana berkongsi lo­rong dengan pemain Si­ngapura (Javier).

“Saya rasa tertekan ketika itu sehingga melakukan beberapa kesilapan tetapi saya cuba kekalkan fokus untuk melakukan yang terbaik. Selepas itu saya mendapat keyakinan semula.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada jurulatih saya, Holloway Cheah dan semua pihak yang memberikan sokongan terutamanya Fre­derick Tan (fisiologi Institut Sukan Negara). Dia banyak membantu saya,” katanya.

Kejayaan itu terus membakar semangat Rafiq yang turut berjaya menewaskan rakan sepasukan iaitu pemenang empat emas dan satu gangsa Sukan SEA 2011, Andrian Ang untuk memburu lebih banyak kejayaan pada edisi ke-28 kali ini.

“Satu pertarungan se­ngit antara saya dan semua pemain yang lain. Saya bermula dengan langkah kanan dan berharap momentum ini akan diteruskan,” jelasnya.

Kejayaan Rafiq itu ba­gai­manapun gagal diikuti skuad boling wanita yang sekadar meraih pingat gangsa mene­rusi Esther Cheah dengan jumlah keseluruhan 1,291 jatuhan pin dalam kategori perseorangan semalam.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment