Wednesday, June 10, 2015

Malaysia raih pingat perak acara berpasukan

SINGAPURA, 9 Jun (Bernama) -- Skuad sepak takraw lelaki negara berjaya meraih pingat perak dalam acara berpasukan pada Sukan SEA 2015 selepas mengalahkan Singapura 2-1 pada aksi terakhir pusingan awal di Pusat Pameran dan Konvensyen Singapura (Singapore Expo), hari ini.

Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia berjaya memperbaiki pencapaian pingat gangsa yang diraih dalam acara yang sama pada edisi 2013 di Myanmar.

Untuk rekod, Malaysia kalah 3-0 kepada juara bertahan, Thailand sebelum bangkit menundukkan Indonesia 2-1 pada aksi kedua pusingan awal, semalam.

Thailand yang merupakan juara dunia, melakar kemenangan ketiga berturut-turut menerusi kemenangan selesa 3-0 ke atas Indonesia, sekali gus mengekalkan pingat emas yang dimenangi dua tahun lepas di Myanmar.

Pada aksi hari ini, trio negara yang terdiri daripada Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi, Mohd Zamree Mohd Dahan dan Mohd Safaruddin Abu Bakar meraih mata pertama menerusi kemenangan 21-14 dan 21-17 ke atas regu Singapura.

Trio kedua negara iaitu Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Mohd Hanafiah Dollah menghadiahkan mata seterusnya selepas menang 21-9 dan 21-7 namun gandingan Muhammad Hairul Azizi Haidzir, Mohd Khairul Zaman Hamir Akhbar dan Zuleffendi Sumari tumpas 23-25 dan 14-21 kepada regu ketiga tuan rumah.

Ketua jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad, yang ditemui Bernama selepas aksi berkenaan, memuji sikap pemain muda negara yang mempamerkan semangat juang yang tinggi walaupun sebahagian daripada mereka membuat penampilan sulung pada temasya sukan dwitahunan berkenaan.

"Skuad kali ini terdiri daripada barisan pemain berpengalaman dan pemain yang dipilih daripada Kejohanan Liga Sepak Takraw dan menerusi temasya ini, saya boleh uji gandingan baharu untuk mencari keserasian di antara pemain.

"Saya puji regu ketiga negara yang menunjukkan prestasi yang agak baik walaupun Singapura berjaya memenangi perlawanan pada akhirnya," jelas Abdul Talib.

Pada masa sama, beliau yakin skuad negara mampu meraih pingat emas dalam acara regu lelaki yang bermula Jumaat ini dengan sandaran diletakkan kepada Mohammad Syahir, Farhan dan Mohd Hanafiah yang membawa Malaysia muncul juara Siri Super Istaf 2015 buat julung kalinya menerusi kemenangan 2-0 ke atas Thailand di Melaka, Februari lepas.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment