Wednesday, June 10, 2015

Ing Yueh buat kejutan emas


ING YUEH (kiri) dan Farah menunjukkan pingat yang mereka menangi dalam acara gimnastik artistik individu wanita semalam. Ing Yueh menang emas dalam disiplin palang bertingkat.

SINGAPURA – Skuad gimnastik artistik negara akhirnya berjaya menepati sasaran meraih dua pingat emas pada Sukan SEA kali ini, namun apa yang mengejutkan adalah penyumbang pi­ngat tersebut bukannya Farah Ann Abdul Hadi.

Sebaliknya, Tan Ing Yueh yang mencipta kejutan dalam acara individu bagi disiplin palang bertingkat pada aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Bishan semalam.

Farah yang diletakkan sebagai antara gimnas pilihan untuk memenangi acara tersebut terpaksa berpuas hati de­ngan pingat gangsa selepas mengumpul 12.200 mata, manakala Ing Yueh berjaya meraih 12.766 mata untuk dikalungkan pingat emas menewaskan pencabar terdekat dari Filipina, Ava Lorein Verdeflor (12.366).

Ing Yueh yang membuat penampilan pertama pada Sukan SEA kali ini terus melakar kenangan manis buat dirinya apabila meraih perak dalam acara melombol selepas gimnas Vietnam, Phan Thi Ha Thanh menggenggam emas dan Farah sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan gangsa.

Menurutnya, insiden Farah terjatuh ketika melakukan pendaratan dalam acara tersebut membuatkan dirinya sedikit gementar tetapi semangat untuk menyaksikan skuad negara mendapatkan sekurang-kurangnya satu pingat pada acara tersebut mendorongnya untuk terus berusaha.

“Sebelum tiba giliran saya, Farah yang terlebih dahulu masuk gelanggang, namun saya agak terkejut kerana dia terjatuh kerana sebelum ini setiap kali melakukan persembahan, pasti akan sempurna.

“Memandangkan kami rakan sepasukan dan berjuang untuk negara, saya mahu memastikan emas ini menjadi milik Malaysia dan akhirnya saya berjaya me­lakukan persembahan terbaik.

“Terima kasih juga kepada Farah yang sentiasa menyokong dalam setiap persembahan saya sepanjang Sukan SEA kali ini. Harap dua tahun lagi kami dapat lakukan yang lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat semalam.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment