Wednesday, June 10, 2015

Skuad terjun tiada saingan


SKUAD terjun muncul pasukan terbaik selepas menyapu bersih lapan pingat emas yang dipertandingkan pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

SINGAPURA – Kem terjun negara melabuhkan tirai kempen Sukan SEA 2015 de­ngan penuh bergaya apabila berjaya mengulangi pencapai­an yang dilakukan di Myanmar dua tahun lalu dengan menyapu bersih lapan pingat emas yang dipertandingkan.

Kolam terjun di Pusat Akuatik OCBC itu terus menjadi saksi kejayaan skuad negara melakar kecemerlangan dan penerjun berkelas dunia.

Pandelela Rinong serta rakan sepasukannya, Loh Zhia­yi terus menceriakan kontinjen negara melalui emas dan perak yang dimenangi dalam acara 10 meter platform wanita individu yang juga merupakan acara penutup.

Pandelela ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila mencatat 353.00 mata, meninggalkan Zhiayi di tempat kedua dengan mengumpul 305.25 mata.

Ternyata kedua-dua mereka sukar ditandingi apabila pemenang pingat gangsa dari Singapura, Frieda Lim hanya melakukan catatan 251.70 mata.

Terjunan kedua menyaksikan Pandelela melakukan sedikit kesilapan apabila pendaratannya dilihat kurang sempurna hingga hanya mampu meraih 49.30 mata.

Namun tiga terjunan terakhir menyaksikan atlet kelahiran Sarawak itu kembali bangkit termasuk melakar catatan tertinggi 81.60 mata pada terjunan terakhir untuk merangkul pingat emas.

“Kami sangat gembira de­ngan kejayaan ini kerana hasrat menyapu bersih semua pingat emas yang dipertan­dingkan memang merupakan sasaran pada Sukan SEA kali ini. Saya rasa sangat gembira kerana walaupun saya agak keletihan namun mampu untuk melakukan yang terbaik.

“Saya lihat ada peningkatan dalam kalangan penerjun dari negara lain pada Sukan SEA kali ini.

Mereka beraksi lebih baik berbanding dua tahun lalu di Myanmar dan saya tidak pernah memandang rendah kemampuan mereka,” kata­nya ketika ditemui semalam.

Biarpun Sukan SEA bukan medan sebenar menguji kemampuannya kerana tahap pencapaiannya sudah berkelas dunia, Pandelela tetap merendah diri dan menganggap temasya ini juga mampu memberikan suatu yang bermanfaat untuknya terutama sebagai persiapan menghadapi kejohanan-kejohanan lain.

“Sukan SEA ini memberikan saya motivasi untuk beraksi lebih baik pada Kejohanan Terjun Siri Dunia. Ia medan untuk saya berlatih dalam misi memburu tempat ke Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil nanti. Saya mahu mencuba yang terbaik selepas memenangi gangsa di Sukan Olimpik London pada 2012,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Zhia­yi, dia sangat berpuas hati memenangi pingat perak buat kali kedua dalam dua penampilannya pada Sukan SEA termasuk kali pertama di Myanmar dua tahun lalu.

Dia terpaksa akur de­ngan kehebatan seniornya, Pandalela dalam dua edisi temasya ini, namun melahirkan keyakinan mampu untuk melakukan yang lebih baik dan memenangi pingat emas pada Sukan SEA akan datang.

“Sukan SEA ini medan ter­­baik untuk saya mencari pengalaman. Selepas ini kami akan menghadapi Kejohanan Terjun Siri Dunia dan kelayakan ke Sukan Olimpik dan saya ambil ini sebagai satu cabaran untuk mempersiapkan diri,” ujarnya.

Sumber:KOSMO

No comments:

Post a Comment