Wednesday, June 10, 2015

Mampukah badminton menyerlah?


            CHONG Wei hanya disenaraikan untuk beraksi dalam acara berpasukan.

SKUAD badminton negara mungkin telah menyenaraikan pemain-pemain terbaik pada Sukan SEA edisi ke-28 di Singapura yang turut diperkuatkan bekas pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Bagaimanapun, apa yang menjadi persoalan sekarang, adakah mereka mampu me­raih jumlah pingat emas bagi menandingi rekod terbaik yang pernah dicatat pada edisi 1965, 1969 dan 1971 yang ketika itu dikenali sebagai Sukan SEAP.

Ketika itu, kontinjen negara sangat cemerlang menerusi pencapaian menakjubkan daripada mendiang Datuk Punch Gunalan, Tan Aik Huang, Ng Boon Bee, Tan Yee Khan, Sylvia Ng dan Rosalind Singha Ang.

Begitupun, selepas kemasukan Indonesia, Brunei dan Filipina sebagai anggota baharu dalam Persekutuan SEAP pada 1977, nama temasya sukan dwitahunan itu ditukar kepada Sukan SEA dan sejak itu prestasi skuad negara dalam acara badminton menjadi hambar.

Pencapaian paling baik pernah direkodkan sejak Sukan SEA 1977 dianjurkan di Kuala Lumpur ialah sekadar dua emas untuk satu temasya yang diraih pada tahun 2001, 2003, 2005 dan 2009.

Ternyata penyertaan Indonesia menjadi halangan besar buat skuad negara, malah tidak boleh dilupakan kebangkitan Thailand yang merupakan seteru utama sejak edisi pertama pada Sukan SEAP 1959 dan Singapura mula menjejaskan peluang Malaysia untuk memburu lebih ba­nyak emas.

Pada temasya di Singapura kali ini, Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen meletakkan sasaran empat final dan sekiranya mereka mampu menyerlah, keempat-empat final itu bakal menjelmakan pingat emas.

Sasaran tersebut tertumpu kepada acara berpasukan lelaki termasuk beregu lelaki, Tan Wee Kiong-Goh V Shem, beregu wanita (Woon Khe Wei-Vivian Hoo) dan beregu campuran yang diperkuatkan oleh Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Walaupun pemain-pemain itu bakal muncul sebagai pilihan utama tetapi mereka juga tidak boleh memandang rendah keupayaan pencabar-pencabar mereka di Singapura yang akan beraksi tanpa tekanan.

Bekas ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek menjelaskan, aksi cemerlang banyak bergantung kepada tahap kecergasan pemain dan sekiranya mereka mampu me­ngawal tekanan dengan baik, maka peluang meraih emas sangat cerah.

“Ketika Sukan SEAP, skuad negara memang boleh raih banyak emas sebab ketia­daan Indonesia tetapi selepas mereka menyertai Sukan SEA, peluang kita sangat sukar sebab hanya Malaysia dan Indonesia sahaja yang bersaing.

“Saya juga dengar Indonesia ber­kemungkinan tidak menyenaraikan pemain-pemain utama mereka pada Sukan SEA di Singapura tetapi kita tidak boleh ambil mudah walaupun mereka sekadar menyenaraikan pemain muda. Saya yakin mereka masih mampu memberi saingan yang hebat.

“Kini, kita tidak boleh mengabaikan Thailand yang juga lebih baik terutama dalam acara perseorangan wanita, manakala Singapura mampu memberi saingan dalam acara beregu campuran,” kata Rashid.

Bagi acara perseorangan lelaki pula, peluang untuk mengakhiri kemarau emas sejak kali terakhir diraih Roslin Hashim pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur, berkemungkinan masih sukar.

Rashid berkata, dua pemain muda Indonesia, Ginting Anthony dan Christie Jonatan mara ke suku akhir Terbuka Indonesia minggu lalu dan mereka bakal beraksi pada Sukan SEA kali ini, selain mampu menyekat kemaraan Chong Wei Feng dan Mohamad Arif Abdul Latif dalam acara individu.

“Kelebihan kita mungkin disebabkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghantar pemain-pemain utama tetapi keha­di­ran mereka belum tentu memberi jaminan untuk meraih dua emas pada temasya kali ini. Chong Wei disenaraikan untuk acara berpa­sukan, jadi belum tentu kita boleh raih emas kerana kemenangan juga bergantung kepada pemain-pemain lain.

“Lebih baik dia disenaraikan dalam acara individu kerana sudah ada jaminan satu emas dalam tangan. Peluang masih 50-50 untuk acara berpasukan kerana dia boleh raih satu mata dan empat lagi mata bergantung kepada dua lagi acara perseorangan dan beregu,” kata Rashid.

Chong Wei tidak pernah meraih emas dalam acara individu pada Sukan SEA. Dia sekadar meraih gangsa pada temasya 2005 di Filipina, namun bagi acara berpasukan lelaki mereka mengungguli emas.

Bagi pencapaian dua tahun lalu di Myanmar, emas tunggal badminton disumbangkan beregu wanita, Vivian-Khe Wei, manakala tiga lagi gangsa menerusi beregu lelaki, Lim Khim Wah-Ow Yao Han dan V Shem-Teo Kok Siang serta beregu campuran, Tan Aik Quan-Lai Pei Jing.

Acara badminton akan bermula hari ini dengan acara berpasukan sebagai membuka gelanggang.

Skuad wanita dijadualkan me­nentang Vietnam, manakala pasukan lelaki pula akan membuat perhitungan dengan Kemboja.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment