Friday, June 12, 2015

Shereen Ingin Teruskan Legasi Keluarga Dalam Sukan Olahraga

SINGAPURA, 12 Jun (Bernama) -- Pelari pecut wanita negara, Shereen Samson Vallabouy ingin meneruskan legasi keluarganya dalam sukan olahraga setelah berjaya meraih pingat gangsa menerusi acara 400 meter wanita di temasya Sukan SEA ke-28 Singapura.

Anak kepada atlet olahraga yang terkenal pada era 80-an dan 90-an, Samson Vallabouy dan Josephine Mary itu berjaya memperbaharui catatan masa peribadi 54.26 saat pada aksi final di Stadium Nasional Singapura hari ini.

Catatan masa peribadi terbaik pernah dicatat oleh atlet dari Ipoh, Perak ini ialah 55.12s yang dilakukanya pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara 2015 di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) pada April lalu.

Pingat emas bagi acara tersebut dimenangi oleh Thi Huyen Nguyen dari Vietnam setelah berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 52.00s, pingat perak turut menjadi milik Vietnam, Thi Lan Quach (52.52s).

Shereen, 17, yang membuat penampilan pertama di Sukan SEA berkata beliau gembira dengan kejayaan hari ini kerana bukan hanya meraih pingat gangsa sebaliknya turut berjaya memperbaiki catatan masa peribadi.

"Emak saya banyak memberi motivasi dan kata-kata perangsang untuk saya menang hari ini.

"Tanpa beliau dan juga tunjuk ajar daripada jurulatih serta sokongan daripada rakan-rakan, saya tidak mungkin dapat sampai ke tahap ini," katanya kepada pemberita hari ini.

Shereen berkata harapan beliau adalah untuk memajukan diri dalam sukan olahraga dan pergi ke tahap yang lebih tinggi iaitu sehingga ke sukan Olimpik satu hari nanti.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa rakan senegara Nurul Faizah Asma Mazlan yang turut beraksi dalam acara tersebut apabila hanya sekadar menduduki tempat kelima dengan catatan masa 55.64s.

Sumber -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment