Friday, June 12, 2015

Olahraga Sumbang Satu Perak Dan Dua Gangsa Pada Hari Terakhir

SINGAPURA, 12 Jun (Bernama) -- Skuad olahraga negara menambah koleksi sebutir pingat perak dan dua pingat gangsa pada hari terakhir acara trek dan padang di temasya Sukan SEA ke-28 Singapura yang berlangsung di Stadium Nasional Singapura.

Pingat perak negara disumbangkan oleh atlet lempar cakera wanita negara, Yap Jeng Tzan, manakala dua pingat gangsa masing-masing disumbangkan oleh Shereen Samson Vallabouy menerusi acara 400 meter wanita dan atlet Kuartet 4x100 meter wanita negara yang dibarisi oleh Siti Fatima Mohamad/Zaidatul Husniah Zulkifli/Komalam Shally Selvaretnam/Noor Amira Mohamad Nafiah.

Secara keseluruhan Malaysia kini berada tempat keenam daripada tujuh negara yang mengambil bahagian dalam acara olahraga selepas mengumpul sebanyak tiga pingat emas, dua pingat perak dan sembilan pingat gangsa.

Tiga pingat emas negara disumbangkan oleh atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin, Nauraj Singh Randhawa dalam acara lompat tinggi lelaki dan Muhammad Hakimi Ismail menerusi acara lompat kijang.

Walaupun gagal mengatasi pencapaian di Sukan SEA Myanmar 2013 iaitu empat pingat emas, enam pingat perak dan tiga pingat gangsa, kejayaan beberapa atlet olahraga negara memperbaiki catatan masa peribadi perlu diambil kira dalam mengukur pencapaian atlet olaharaga di sukan dwitahunan ini.

Pengurus skuad olahraga negara, Datuk SM Muthu berkata beliau berpuas hati dengan kesungguhan dan semangat tinggi yang ditunjukan oleh atlet olahraga negara dalam menghadapi saingan Sukan SEA walaupun kebanyakan daripada mereka terdiri daripada atlet baru.

"Walaupun gagal mengatasi pencapaian di Myanmar dua tahun lepas, ramai atlet negara berjaya memperbaiki catatan masa mereka di sini (Singapura) dan ianya satu petunjuk yang positif," katanya ketika di hubungi Bernama di sini hari ini.

Muthu berkata kejayaan luar biasa yang ditunjukan oleh atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail bukan hanya berjaya menamatkan kemarau pingat emas negara selama 18 tahun tetapi turut berjaya memadamkan rekod lama 16.67m yang dicipta atlet Vietnam, Hung Nguyen Van pada Sukan SEA 2013 di Myanmar perlu diberi pujian.

Atlet berasal dari berasal dari Felda Rentam, Pahang itu meraih pingat emas selepas mencatat lompatan sejauh 16.76m.

Sumber -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment