Friday, June 12, 2015

Muhammad Danial Berjuang Dalam Kesakitan Sebelum Raih Perak

SINGAPURA, 12 Jun (Bernama) -- Walaupun terpaksa bertarung melawan kesakitan, atlet taekwando muda negara, Muhammad Danial Mohd Azri mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk meraih pingat perak pada penampilan sulung pada Sukan SEA ke-28 di sini.

Atlet berusia 19 tahun ini terpaksa bertarung melawan kesakitan 'shin' di bahagian kaki yang dihadapinya sejak pusingan awal sebelum kalah 6-11 kepada peserta Indonesia, Reinaldy Atmanegara pada aksi final kategori bawah 54kg lelaki di Pusat Pameran dan Konvensyen Singapura malam ini.

Pingat gangsa dikongsi oleh wakil tuan rumah, Ng Ming Wei dan peserta Filipina, Jenar Torillos yang kalah pada peringkat separuh akhir.

Muhammad Danial yang ditemui pemberita selepas perlawanan berkata, beliau cuba memberikan persembahan terbaik namun kesakitan yang dialaminya memaksa beliau menyerah kalah kepada peserta Indonesia itu.

Beliau turut mengakui agak terkejut dapat mara ke final dalam kategori berkenaan yang kebiasaannya dikuasai peserta dari Myanmar dan Filipina.

"'Shin' saya bengkak sebab asyik berlaga dengan lawan saya namun pencapaian ini cukup membanggakan saya kerana ia merupakan penampilan sulung saya pada Sukan SEA," kata anak jati Klang, Selangor yang membuat persediaan selama enam bulan sebelum hadir ke Kota Singa.

Justeru itu, penuntut Universiti Malaya dalam jurusan Sumber Manusia yakin latihan intensif lebih lama terutamanya di luar negara mampu menghadirkan keputusan positif untuk dirinya pada kejohanan seterusnya.

Dalam pada itu, wakil tunggal wanita, S.Thirunakarasu gagal meraih sebarang pingat setelah kalah 10-11 kepada peserta tuan rumah, Chew Xin Wei dalam kategori bawah 46kg wanita menerusi mata penentuan (golden point).

Kedua-dua atlet berkenaan sebelum itu terikat 10-10 selepas bertarung dalam tiga pusingan sehingga memaksa perlawanan ditentukan menerusi 'golden point'.

Atlet Vietnam, Truong Thi Kim Tuyen meraih pingat emas setelah mengalahkan wakil Filipina, Irene Therese Bermejo 19-7 manakala pingat gangsa dikongsi oleh Xin Wei dan atlet Thailand, Wilasinee Khamsribusa yang kalah pada saingan separuh akhir.

Terdahulu, Malaysia berjaya meraih satu pingat perak menerusi Yap Kim Wen dan Kok Jun Ee dalam acara poomsae beregu campuran selain dua gangsa menerusi Yong Jin Kun (poomsae individu lelaki) dan trio dibarisi Yong, Chew Wei Yan dan Jun Ee dalam acara poomsae beregu lelaki.

Sumber -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment