Friday, June 12, 2015

Skuad Hoki Wanita Cipta Hatrik Pertahan Emas

SINGAPURA, 12 Jun (Bernama) -- Skuad hoki wanita negara berada dalam kelas tersendiri apabila mencipta hatrik mempertahankan pingat emas selepas menewaskan Thailand 3-1 dalam saingan Sukan SEA ke-28 Singapura, di Stadium Hoki Sengkang.

Pada perlawanan akhir malam ini, skuad bimbingan jurulatih Nasihin Nubli Ibrahim menghadapi tentangan sengit pada separuh masa pertama apabila kedua-dua pasukan terikat 0-0.

Bersambung babak kedua perlawanan, skuad negara mempamerkan aksi bertenaga walaupun diasak pasukan lawan sehingga pemain negara Hanis Nadia Onn cemerlang menjaringkan gol padang pertama buat negara pada minit ke-37.

Walaupun pemain Thailand banyak mengasari pemain negara namun Fatin Shafiqa Sukri menambah tekanan pasukan lawan dengan jaringan padang kedua pada minit ke-45.

Empat minit kemudian Nurul Nabihah Mansur memberi kedudukan selesa kepada pasukan negara dengan jaringan padang ketiga.

Kemudian pemain lawan Sirikawan Wongkeaw berjaya membolosi gawang negara dengan jaringan tunggal pasukan itu pada minit ke-51.

Nasihin menyifatkan kemenangan pada temasya dwitahunan ini paling istimewa kerana pasukan negara berjaya mempamerkan permainan yang profesional walaupun pengadil perlawanan dilihat berat sebelah.

"Saya puji semua pemain malam ini. Kita dapat lihat malam ini, prestasi pasukan Thailand sudah banyak meningkat. Pada separuh pertama pasukan bermain sangat berhati-hati menyebabkan peluang kami tersekat.

"Pada separuh masa kedua, saya meletakkan lima pemain di bahagian serangan. Saya berbangga pasukan dapat mempertahankan pingat emas dan meletakkan pasukan negara lebih jauh daripada pasukan lain di Asia Tenggara.

"Pengadil hari ini agak berat sebelah sedikit, banyak menganggu rentak permainan kami dan saya terpaksa mengubah banyak strategi mengikut rentak pengadil pada malam ini," katanya.

Untuk rekod, skuad wanita negara meraih pingat emas di Korat, Thailand 2007 dan dua tahun lepas di Myanmar. Pada Sukan SEA di Laos 2009 dan Indonesia 2011, acara hoki tidak dipertandingkan.

Sumber -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment