Sunday, June 14, 2015

Pelayar cilik terus unggul

AKSI Muhammad Fauzi Kaman Shah ketika mengendalikan perahunya
AKSI Muhammad Fauzi Kaman Shah ketika mengendalikan perahunya untuk muncul juara optimis individu lelaki di Pusat Pelayaran Singapura, semalam.

SINGAPURA – Pelayar bertubuh kecil berusia 13 tahun, Muhammad Fauzi Kaman Shah sekali lagi mencuri tumpuan apabila merangkul emas keduanya dalam Sukan SEA 2015, kali ini menerusi acara optimis individu lelaki (bawah 16 tahun), semalam.

Seperti memilih jalan sukar untuk menang, Fauzi hanya mampu mengesahkan kejuaraan pada saat akhir dalam perlumbaan penentuan pingat, biarpun pada satu ketika dia hampir tewas apabila ketinggalan jauh di belakang Suthon Yampinid dari Thailand dan pelayar Singapura, Daniel Ian Toh.

Namun, sebelum melintasi garisan penamat, dia berjaya memintas Suthon dan Daniel dengan penuh bergaya, sekali gus memastikan emas menjadi milik Malaysia.

Sebelum itu, Norashikin Mohamada Syed dan Nuraisyah Jamil terlebih dulu mengesahkan kemenangan dalam acara Wanita double 470 selepas mengetepikan pesaing terdekat, Narisa Yu-Sawat dan Panida Suksomporn dari Thailand.

Satu gangsa juga berjaya disahkan pasukan negara melalui acara optimis individu Wanita menerusi Nor Nabila Natasha Mohd. Nazri.

Ini adalah emas keempat diraih pelayaran di Singapura setakat ini selepas turut menjuarai saingan optimis berpasukan dan Laser Radial perempuan.

“Kami baru digandingkan pada Disember lalu, jadi kami sebenarnya tidaklah begitu rapat, ditambah pula jarak usia kami agak besar...selain minat kami juga berbeza.

“Satu perkara yang ‘mengikat’ kami adalah menonton ranca­ngan Korea, Running Man. Itulah aktiviti kami sepanjang sebulan berlatih di Greece dan ia menjadikan hubungan kami semakin rapat,” kata Norashikin, 22, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Arau.

Nuraisyah, 18, pula puas kerana pengorbanannya selama ini akhirnya menghadiahkan kejayaan.

“Segala pengorbanan kami akhirnya berbaloi dan ia memang sangat menggembirakan, apabila meraih emas,” kata Nuraisyah pula.

Sumber: UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment