Friday, June 12, 2015

Nur Ayuni Akhiri Penantian Lapan Tahun Kutip Pingat Emas Sukan SEA

SINGAPURA, 12 Jun (Bernama) -- Atlet menembak negara, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim mengakhiri penantian lapan tahun untuk memungut pingat emas, pada Sukan SEA ke-28 Singapura dalam acara 50 meter 3 posisi di Pusat Menembak Nasional, hari ini.

Lebih manis lagi kejayaan itu dicapai sebagai hadiah hari jadi ibunya, Khatijah Ismail ke-53 semalam, yang ternyata memberi semangat kepada Nur Ayuni Farhana mempamerkan aksi konsisten bidikan tertinggi 446.7 mata.

Nur Ayuni menewaskan Supamas Wankaew dari Thailand yang meraih pingat perak dengan 442.9 mata. Seorang lagi atlet negara Nur Suryani Mohamed Taibi menyumbang pingat gangsa dengan 433.5 mata.

Nur Ayuni mula menyertai sukan dwitahunan itu pada 2009.

"Syukur dengan rezeki hari ini, pingat emas ini untuk mama saya...hari jadi mama semalam. I love you so much. Saya ada mesej mama supaya doakan saya hari ini. Mama saya adalah orang yang sentiasa sokong saya dalam sukan menembak ini dari awal lagi.

"Saya ingat lagi Mama yang hantar latihan walaupun ketika itu ayah bising sebab saya kena fokus untuk SPM (Sijil Pelajaran Malaysia)," katanya.

Nur Ayuni berkata untuk acara hari ini, beliau memang betul-betul fokus dan, mengawal tekanan dengan baik.

"Sebelum ini di Palembang 2011 saya dapat gangsa bagi acara ini," katanya.

Nur Ayuni turut membantu pasukan yang dibarisi Nur Suryani dan Muslifah Zulkifli meraih pingat perak dalam acara berpasukan 50meter 3 posisi wanita dengan jumlah 1,718 mata.

Pingat emas acara itu dimenangi oleh trio Thailand dengan 1,735 mata dan tuan rumah, Singapura meraih pingat gangsa dengan 1,710 mata.

Setakat ini acara menembak mengutip dua pingat emas, enam pingat perak dan enam pingat gangsa.

Sumber -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment