Friday, June 12, 2015

Ju Pha Capai Sasaran Pingat Di Sukan SEA

SINGAPURA, 12 Jun (Bernama) -- Pelumba wanita negara, Ju Pha Som Net berjaya meloloskan diri daripada kepungan beberapa pelumba lain untuk meraih gangsa pada acara kriterium.

Acara yang melibatkan 10 pusingan sejauh 26.50km (2.65km setiap pusingan) di Marina Bay South itu tamat dalam pecutan berkelompok menuju garisan penamat.

Pelumba berusia 22 tahun itu mencatat masa sama iaitu 44.22 saat untuk meraih gangsa di belakang pelumba Thailand, Jutatip Maneephan dan Nguyen Thi That dari Vietnam.

Sementara seorang lagi pelumba negara, Nurul Suhada Zainal menamatkan saingan di tempat keempat juga dengan catatan masa yang sama.

"Dalam 100 meter sebelum ke garisan penamat, saya telah dikepung beberapa pelumba dan nasib baik, (Nurul) Suhada membantu menarik saya keluar. Saya terus mencari ruang untuk membuat pecutan.

"Saya puas hati sebab saya berjaya memenangi podium. Memang saya sasarkan untuk menang podium dan menang pingat sebarang warna," katanya.

Beliau akan bergandingan dengan Nurul Suhada sekali lagi esok dalam acara perlumbaan lebuh raya.

"Untuk acara esok, strategi perlumbaan akan tetap sama memandangkan laluan landai di sini. Kami perlu berhati-hati juga kerana pasukan negara lain mempunyai pakar pecut masing-masing," katanya.

Sumber -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment